BM | EN | 中文

Johor cadang pembukaan awal skim ketiga DCA dimulai dengan sektor pendidikan

Dr-Ir-Hasni-Mohammad.jpg

Datuk Ir Hasni Mohammad (Gambar Fail)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 NOV: Johor telah mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya pelaksanaan awal skim ketiga Daily Commuting Arrangement (DCA) untuk sempadan Johor-Singapura kelak, memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan terlebih dahulu termasuk para pelajar dan guru mereka.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata cadangan itu telah dibangkitkan beliau sewaktu sidang video khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam kesempatan semalam bersama Perdana Menteri, saya cadangkan kalau boleh mulakan DCA ini dengan sektor pendidikan dahulu iaitu membabitkan pelajar kolej atau institusi swasta di Johor ataupun rakyat Johor yang mendapat pendidikan di Singapura serta dengan ibu bapa, penjaga ataupun guru mereka.

Advertisement

“Mereka ini harus diberikan keutamaan kerana terdapatnya permintaan mendesak untuk keluar masuk secara harian,” katanya pada sidang media secara dalam talian, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas inti pati perbincangannya bersama Muhyiddin dalam sidang berkenaan.

Mengulas lanjut, Hasni berkata pelaksanaan DCA ketika ini belum diputuskan oleh kerajaan namun usaha untuk menjayakannya tetap diteruskan memandangkan Johor telah menyediakan pelbagai cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap kepada jawatankuasa yang berkenaan untuk tujuan pelaksanaan langkah terbabit.

Advertisement

Beliau berkata ini termasuklah mencadangkan supaya hanya kira-kira 7,000 individu dibenarkan melakukan perjalanan pada peringkat awal DCA itu dilaksanakan.

“Cadangan ini semua kita telah kemukakan kepada jawatankuasa khas di peringkat pusat dan berdasarkan respons Perdana Menteri semalam, pihak MKN atau jawatankuasa akan membincangkan perkara ini dan akan memaklumkan kepada Kementerian Luar untuk tindakan seterusnya.

“Jadi, kerajaan negeri akan berhubung dengan Kementerian Luar untuk meminta supaya cadangan SOP yang dikemukakan kerajaan negeri, dapat dimuktamadkan segera,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top