BM | EN | 中文

JOHOR CADANG JADI TUAN RUMAH KONGRES TULISAN JAWI KEBANGSAAN

Timbalan-Pengarah-Pendidikan-Islam-Jabatan-Agama-Islam-Negeri-Johor-JAINJ-Yosree-Ikhsan.jpg

JOHOR BAHRU, 11 SEPT: Dalam merealisasikan usaha memartabatkan tulisan jawi, suatu kongres peringkat kebangsaan berkenaan khazanah persuratan itu akan dicadang untuk diadakan di negeri Johor.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Yosree Ikhsan kepada Johorkini ketika ditemui di Maahad Johor, semalam.

“Dalam usaha memartabatkan penggunaan tulisan jawi, kami bercadang untuk mengadakan Kongres Tulisan Jawi peringkat Kebangsaan di Johor dalam tempoh terdekat. Insya Allah.

“Kami kini sedang menyiapkan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan sedang membincangkan tarikh yang bersesuaian,” katanya.

Justeru itu kata Yosree, pihaknya mengalu-alukan penglibatan semua pihak sama ada pihak swasta, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan individu dalam usaha untuk mempekembang dan memperkukuhkan pembudayaan tulisan jawi.

“Kita belum mendapat peruntukan penuh bagi menjalankan kempen dalam masa terdekat.

“Namun kami mengalu-alukan bagi sesiapa yang berminat, sama ada NGO atau orang ramai yang mahu bekerjasama, menyumbang atau menaja dalam usaha memperkasakan tulisan jawi.

“Kami juga sedia bekerjasama dengan pihak yang berkenan untuk mengadakan program kempen, bengkel. pertandingan dan sebagainya, Insya Allah kami akan bersama,” kata Yosree.

Tambah beliau, kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Johor bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu kata Yosree, komitmen pihaknya dibuktikan melalui penubuhan Jawatankuasa Bertindak Jawi melibatkan Jabatan Mufti Negeri Johor, Jabatan Kehakiman dan MAINJ yang berperanan menyelaras pelaksanaan dasar tersebut.

“Dalam masa yang sama pejabat kadi daerah-daerah di Johor termasuk di sekolah-sekolah akan kita mulakan pelaksanaan tulisan jawi itu dalam urusan surat-menyurat.

“Kita mendapat respon yang baik daripada semua pihak,” katanya.

Awal bulan ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi mengumumkan pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi berkuat kuasa 1 Januari 2020 yang akan membabitkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top