BM | EN | 中文

Johor cadang bina ‘Tangkak Textile Walk’ dengan kos RM1 juta

tangkak.jpg

Gambar Ehsan flickr.com

Advertisement

TANGKAK, 17 MEI: Kerajaan Johor bercadang membina “Tangkak Textile Walk” dengan anggaran kos RM1 juta dalam usaha menghidupkan semula daerah berkenaan selain memperkasakannya sebagai Daerah Pelancongan Tekstil, selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Pegawai Daerah Tangkak Shafiei Ahamad berkata kertas cadangan mengenai projek berkenaan telah dihantar kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tahun lepas bagi tujuan pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tarikan terbaharu itu dijangka dibina di atas tapak seluas 0.23 hektar dan terletak kira-kira 14 kilometer (km) dari Taman Negara Gunung Ledang.

Advertisement

“Projek berkenaan akan menjadi mercu tanda kepada Tangkak selain memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung ketika membeli-belah di daerah ini sekali gus merancakkan semula jumlah kedatangan pelancong dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar daerah serta negeri.

“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada 205 usahawan tekstil di daerah ini, malah membuka peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana makanan dan kraftangan untuk berniaga di situ sekali gus menjana pendapatan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pejabat Daerah Tangkak, baru-baru ini.

Shafiei mengakui keadaan daerah yang terkenal dengan ‘Syurga Tekstil’ satu masa dahulu, kini sangat berbeza berbanding pada peringkat awal yang menerima sekurang-kurangnya 50 bas persiaran setiap hari dengan membawa pelancong domestik dan Singapura untuk membeli tekstil pada harga murah, namun bermutu tinggi.

Advertisement

‘Tahun kegemilangannya adalah sekitar 2009 hingga 2014. Namun, ada beberapa faktor menyebabkan ‘Syurga Tekstil’ ini kurang mendapat sambutan antaranya persaingan seperti di Nilai yang membuka perniagaan kain yang sama konsepnya dengan Tangkak dan gedung tekstil terkemuka tanah air di Segamat selain adanya pandemik.

“Justeru, kita berharap dengan adanya pembinaan projek baharu ini, matlamat pembangunan di daerah ini dalam memperkasakannya sebagai Daerah Pelancongan Tekstil akan tercapai sebagaimana yang diwartakan dalam Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Tangkak 2030,” kata Shafiei.

Ketika tinjauan Bernama baru-baru ini, pusat perniagaan tekstil yang terletak di Jalan Muar-Tangkak iaitu kira-kira tiga km dari Plaza Tol Tangkak itu, kelihatan lengang dan kurang pengunjung.

Advertisement

Seorang pesara swasta, Ramlah Md Hassan, 65, berkata dia gemar membeli-belah di pusat perniagaan itu sejak lebih 25 tahun lepas kerana kualiti kain dan langsir yang dijual selain mengenali hampir semua peniaga sehingga membolehkan dia mendapatkan harga yang berpatutan apabila melakukan tawar-menawar.

‘Suasana lengang mungkin membimbangkan peniaga kerana mereka sukar mendapat keuntungan. Namun, ia memberi keselesaan kepada pelanggan kerana boleh membeli-belah dalam keadaan tenang dan biasanya saya memilih hari bekerja untuk membeli kain,” katanya.

Bagi suri rumah, Nor Fathia Roslan, 27, dia mengenali ‘Syurga Tekstil’ ini kerana sering mengikuti ibunya membeli kain sejak kecil dan sehingga sekarang, Tangkak menjadi pilihan utamanya untuk membeli kain ela.

Advertisement

“Jika pandai tawar-menawar, kain ela import yang mahal dan berkualiti pun boleh dapat dengan harga yang murah, lebih menarik, tidak perlu bersesak-sesak atau beratur panjang,’ katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top