JOHOR BAHRU, 4 NOV: Kerajaan negeri Johor akan mengadakan perbincangan dengan Putrajaya minggu depan berhubung penyertaannya dalam Gagasan Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT).
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ia berikutan Johor menerima jemputan daripada kerajaan untuk turut sama menyertai IMT-GT sebagai ahli baharu bersama dua negeri lain iaitu Pahang dan Terengganu,
“Dahulu IMT-GT int melibatkan negeri-negeri sebelah utara antaranya Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak.
“Tetapi kali ini Johor turut dijemput untuk menganggotai, maka minggu depan kita akan mulakan perbincangan bagaimana kita dapat menjalinkan kerjasama pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2021, di sini malam tadi.
Beliau berkata penyertaan Johor dilihat bersesuaian memandangkan Indonesia turut mengembangkan wilayahnya mencakupi Riau.
“Indonesia mahu membangunkan Riau sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu, maka ia difikirkan bahawa Johor amat sesuai untuk terlibat sama.
“Apabila Indonesia membangunkan daerah berkenaan, Malaysia juga harus membangunkan daerah di Pantai Barat. Maka dengan ini Johor mempunyai satu lagi regional authority,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-13 secara maya pada 28 Okt lepas dilaporkan berkata, kemasukan tiga negeri sebagai ahli baharu IMT•GT sekali gus telah melengkapkan seluruh Semenanjung Malaysia dalam koridor ekonomi.
Bernama