BM | EN | 中文

JOHOR BERUSAHA PENGURUSAN BENCANA DIURUS CEKAP

IMG-20191014-WA0000.jpg

PASIR GUDANG, 14 OKT : Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ini adalah untuk memastikan agar mangsa-mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.

“Di kesempatan ini, saya menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua proses dalam membantu mangsa bencana dapat dilaksanakan dengan sewajarnya dan berjalan lancar.

“Saya juga berharap agar budaya kesiapsiagaan tidak hanya pada bulan ini sahaja.

“Tetapi, menjadi satu budaya berterusan sehingga kita dapat mencapai masyarakat atau komuniti yang berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Peringkat Negeri Johor Tahun 2019 di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan Dr Sahruddin menyampaikan bantuan Wang Ihsan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membabitkan 740 penerima yang mana mereka ditahan wad menerima RM200 dan mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak RM500.

Dr Sahruddin yang merupakan Adun Bukit Kepong berkata, bertepatan dengan tema BKN 2019 iaitu “Kesiapsiagaan Bencana, Tanggungjawab Bersama”, kesiapsiagaan bencana perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak termasuklah orang perseorangan.

“Dengan kerjasama yang terjalin, ia akan memudahkan aspek pengurangan risiko bencana.

“Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan,” katanya.

Tambahnya lagi, kita perlu berusaha untuk mengoptimakan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimakan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan risiko kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan.

“Program-program Community Based Disaster Risk Reduction (CBDRR) perlu sentiasa dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab dalam persiapan menghadapi bencana dan bagaimana risiko dapat dikurangkan.

“Selain itu, pihak Industri juga sewajarnya memainkan peranan dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

“Pelan Kecemasan Bencana perlu dibentuk oleh komuniti industri dengan mengambilkira bukan sahaja kesan kemalangan industri terhadap komuniti industri malah mengambilkira kesan terhadap masyarakat awam dan komuniti di sekitarnya,” katanya.

Beliau menegaskan kejadian pencemaran kimia di Pasir Gudang yang berlaku pada tahun ini perlu diambil iktibar.

“Kejadian itu juga seharusnya memberi kesedaran kepada kita akan tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh komuniti industri dalam mengurangkan risiko bencana kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top