ISKANDAR PUTERI, 18 NOV: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2022 yang merupakan belanjawan defisit kedua berjumlah RM286.47 juta.
Membentangkan Belanjawan yang bertemakan “Memperhebat Kesejahteraan Johor’, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata hasil negeri pada tahun depan diunjurkan berjumlah RM1.671 bilion manakala perbelanjaan berjumlah RM1.958 bilion.
“Tema Belanjawan Johor 2022 yang dipilih selari dengan hasrat kerajaan negeri Johor untuk memastikan kelangsungan rakyat yang terjejas berikutan pandemik. Justeru pada hemat saya, Belanjawan ini amat bermakna kerana menyerlahkan usaha kerajaan negeri untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.
“Segala pertimbangan dan Belanjawan Johor 2022 akan dipandu dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dan kedua, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh,” kata beliau ketika berucap membentangkan Belanjawan tersebut pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Pada Belanjawan tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion sementara RM870 juta untuk pembelanjaan pembangunan yang bakal digunakan bagi melaksana empat impetus dan 12 agenda utama dalam belanjawan berkenaan.
“Bagaimanapun anggaran hasil dan defisit kami tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi dipengaruhi beberapa faktor antaranya seperti kemunculan varian COVID-19 yang tinggi, impak sosial yang tinggi dan pembukaan sempadan antarabangsa,” kata beliau.
Menyentuh mengenai prestasi petaksanaan Belanjawan Johor 2021, beliau berkata sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun 2021.
Hasni (BN-Benut) berkata selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada tahun 2020, ekonomi negeri Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 peratus sehingga 4.1 peratus pada tahun ini dan dijangka terus mengalami pertumbuhan pada tahap pra-krisis pada separuh tahun hadapan.
Bernama