BM | EN | 中文

Johor benarkan solat Jumaat, fardhu lima waktu dan Hari Raya guna satu pertiga kapasiti masjid

masjid-sultan-abu-bakar-johor.jpg

Gambar Ehsan FB Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 22 JUN: Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat, solat berjemaah fardhu lima waktu dan solat sunat Hari Raya Aidil Adha mulai Jumaat 26 Jun 2020, bersamaan 4 Zulkaedah 1441H.

Jumlah jemaah yang dibenarkan adalah mengikut satu pertiga (1/3) kapasiti masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan sosial.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi.

“Demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim, solat Jumaat di Masjid dan Surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan secara berikut.

“Bilangan jemaah Solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat mengikut satu pertiga (1/3) kapasiti masjid dan surau Jumaat dengan mematuhi penjarakan sosial.

“Kewajiban solat Jumaat gugur keatas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat di masjid pada hari berkenaan dan wajib menunaikan solat fardhu Zuhur di rumah,” kenyataan tersebut dipetik.

Kenyataan menyebut, solat Zuhur yang ditunaikan secara berjemaah di surau pada hari Jumaat hendaklah ditunaikan selepas solat Jumaat telah selesai disempurnakan di masjid dan surau Jumaat dengan pematuhan SOP penjarakan sosial.

Bagi solat Hari Raya Aidil Adha dibenarkan dengan jumlah satu pertiga (1/3) kapasiti masjid dan surau dengan pematuhan penjarakan sosial.

“Walaubagaimanapun, surau hendaklah mendapat kebenaran menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha daripada Kadi Daerah,” tambah kenyataan itu.

[VIDEO: Tak Payah Solat Jemaah Di Masjid? Takkan Tak Boleh Langsung? – Penjelasan Ustaz Shazni]

Kebenaran tersebut berkuatkuasa mulai Subuh, Jumaat 26 Jun 2020, bersamaan 4 Zulkaedah 1441H sehingga satu tarikh yang akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor setelah mendapat pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu pelaksanaan ibadah korban bagi tahun 1441H juga dibenarkan di pusat-pusat penyembelihan dan masjid yang memiliki tempat penyembelihan yang diluluskan oleh Pejabat Kadi Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

“Ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah fardhu lima waktu, solat Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban berjalan dengan lancar serta mematuhi segala garis panduan yang dikeluarkan JAINJ,” tambah kenyataan tersebut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top