BM | EN | 中文

Johor benarkan solat fardu, Jumaat ikut kapasiti masjid

Masjid-Sultan-Ibrahim-Muar.jpg

Masjid Sultan Ibrahim, Muar (Gambar Hiasan)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan membenarkan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di seluruh negeri, diadakan mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Kebenaran itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin di sini, semalam.

Menurut kenyataan berkenaan, kebenaran itu akan berkuat kuasa bermula pada solat Subuh esok sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak setelah mendapat nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Advertisement

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa semua perhimpunan untuk tujuan pengimarahan seluruh masjid dan surau juga dibenarkan, termasuk kuliah dan membudayakan al-Quran, bacaan Yasin dan Tahlil, solat hajat dan bacaan ratib dan selawat.

Menurutnya solat terawih, tadarus Al-Quran dan Qiamulail juga boleh diadakan dalam tempoh bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Jamuan berbuka puasa dan sahur turut dibenarkan namun makanan perlulah disediakan secara berbungkus, manakala aktiviti memasak di surau tidak dibenarkan namun edaran bubur lambuk dibenarkan,” tambah kenyataan itu.

Advertisement

Menurutnya bagi kehadiran jemaah pula, ia hendaklah diberi keutamaan kepada warganegara dan penduduk tetap sahaja.

Selain itu, ahli jawatankuasa masjid dan surau juga perlu bertanggungjawab memastikan pengurusan dan pelaksanaan kesemua aktiviti yang dibenarkan itu dibuat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top