BM | EN | 中文

Johor benarkan 40 jemaah tunai solat Jumaat, solat fardu

Masjid-Sultan-Ibrahim-Muar.jpg

Masjid Sultan Ibrahim, Muar (Gambar Hiasan)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 FEB: Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan di masjid dan surau di negeri itu dengan jumlah jemaah 40 orang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata jumlah itu tidak termasuk pegawai, ahli jawatankuasa dan pengurusan kariah masjid dan surau.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mendapat pandangan serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Advertisement

“Secara keseluruhan, terdapat 814 masjid di Johor dan bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, kebenaran itu turut dilaksanakan di 216 surau di seluruh Johor.

“Had umur pula 10 tahun ke atas termasuk warga emas asal syarat sihat tubuh badan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau turut bertanggungjawab dalam memastikan pekeliling dan garisan panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dipatuhi, antaranya memastikan jemaah mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan surau, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan penjarakan fizikal dipatuhi.

Advertisement

Tosrin berkata solat jenazah turut dibenarkan dengan kehadiran 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah takmir masjid dan surau serta ceramah ditangguhkan tetapi aktiviti kuliah dan ceramah secara dalam talian adalah digalakkan.

Beliau berkata bagi pengurusan nikah, cerai dan rujuk pula pelaksanaannya adalah bersyarat seperti majlis akad nikah yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat JAINJ atau pejabat kadi daerah, namun digalakkan untuk ditangguhkan.

Advertisement

“Ia juga terhad kepada pasangan pengantin dan wali yang berada dalam daerah yang sama, kehadiran pula tidak melebihi enam orang meliputi tiga orang dari pihak keluarga pengantin dan tiga urus setia.

“Selain itu, bagi pasangan pengantin dan wali yang berada di negeri berbeza dan di luar Johor turut dibenarkan dengan syarat telah dapat kebenaran rentas negeri daripada pihak keselamatan dan perlu membuat pemeriksaan saringan COVID-19 dari pusat perubatan kerajaan atau swasta 72 jam sebelum tarikh majlis akad,” katanya.

Beliau turut menjelaskan secara purata terdapat 35 permohonan pernikahan di Johor setiap hari sejak pelaksanaan PKP 2.0 pada 13 Jan lepas.

Advertisement

Tosrin berkata penganjuran kursus praperkahwinan pula boleh dilaksanakan melalui kaedah sidang video sahaja dengan maksimum 100 peserta.

“Bagi pendaftaran cerai, ia boleh dilaksanakan untuk mendapatkan sijil cerai sekiranya dapat Perintah Pengesahan Cerai dari Mahkamah Syariah. Pendaftaran Rujuk juga boleh dilaksanakan dengan hadir ke Pejabat Kadi Daerah,” katanya.

Sementara itu Tosrin berkata MAINJ menyalurkan RM2.5 juta untuk bantuan COVID-19 di seluruh negeri yang mula dibayar awal bulan ini kepada 491 penerima yang sudah pun dikreditkan dalam akaun masing-masing bermula 1 Feb.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top