BM | EN | 中文

Johor benar solat tarawih, Aidilfitri di daerah PKP ikut kapasiti masjid

masjid-sultan-abu-bakar-johor.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 MEI: Johor membenarkan pelaksanaan solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri di tiga daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan kehadiran jemaah tidak melebihi kapasiti satu pertiga ruang masjid atau surau serta pematuhan kepada penjarakan fizikal.

Arahan itu turut terpakai bagi pelaksanaan solat berjemaah fardhu lima waktu dan solat Jumaat di tiga daerah berkenaan iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin di sini, semalam.

Advertisement

“Pelaksanaan solat berjemaah lima waktu, solat Jumaat, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri di daerah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih kekal seperti sebelum ini iaitu dengan menggunakan keluasan ruang masjid atau surau dengan penjarakan fizikal.

“Bagi daerah PKP, kegiatan menziarahi tanah perkuburan tidak dibenarkan, manakala, bagi daerah PKPB hanya dibenarkan selepas hari raya ketiga.

“Kesemua ketetapan itu berkuatkuasa bermula esok sehingga ada ketetapan lain yang akan ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Johor,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Selain itu sepanjang tempoh PKP dan PKPB, semua kegiatan pengimarahan masjid atau surau adalah mengikut ketetapan yang dicapai iaitu antaranya, pelaksanaan solat sunat tarawih hanya diberikan kepada warganegara sahaja berumur tujuh tahun dan ke atas.

“Solat sunat tarawih juga dilaksanakan 20 rakaat diikuti solat sunat witir tiga rakaat. Imam bertugas juga perlu membaca surah-surah lazim sahaja pada setiap rakaat selepas bacaan surah Al-Fatihah. Solat sunat hajat dilaksanakan di masjid dan surau selepas solat Maghrib dan solat Jumaat,” menurut kenyataan itu.

Majlis berbuka puasa, jamuan, penyampaian bantuan, kegiatan memasak dan agihan bubur lambuk di kawasan masjid atau surau adalah tidak dibenarkan, manakala program kuliah, ceramah dan tadarus al-Quran dibenarkan tidak melebihi satu jam.

Advertisement

“Majlis khatam al-Quran dibenarkan dalam satu jam 30 minit selepas solat Zuhur hingga Asar. Majlis Qiamullail dilaksanakan dalam tempoh dua jam sebelum masuk solat Subuh, namun aktiviti bermalam di masjid atau surau tidak dibenarkan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan JAINJ akan diperketatkan lagi dengan kawalan Ahli Jawatankuasa masjid atau surau dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top