BM | EN | 中文

Johor belanja hampir RM500,000 selaras skim RGL, PCA

Johor-Malaysia-Singapore-Tambak-Johor.jpeg

Gambar Ehsan SCMP/AFP

ISKANDAR PUTERI, 10 SEPT: Kerajaan negeri Johor sudah membelanjakan hampir RM500,000 untuk menyelaraskan penglibatan para petugas barisan hadapan, makmal perubatan kerajaan dan swasta di negeri ini bagi membolehkan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) menyaring 2,000 orang kemasukan sehari ke negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sehingga 31 Ogos lepas, sejumlah 327 orang direkodkan menggunakan RGL iaitu seramai 45 orang keluar dari Johor manakala seramai 282 pula memasuki negeri ini.

Katanya, skim PCA pula merekodkan seramai 8,270 orang dengan seramai 6,784 orang direkodkan keluar dari Johor manakala 1,486 orang direkodkan memasuki negeri ini.

“Bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dirancang dapat dipatuhi, kerajaan negeri Johor telah mengambil langkah proaktif dengan menyelaras keterlibatan agensi yang berada di barisan hadapan.

“Kerajaan negeri sudah membelanjakan hampir RM500,000 untuk selaraskan perkhidmatan sama ada perkhidmatan pengamal perubatan, makmal-makmal kerajaan mahupun makmal milik swasta supaya membolehkan RGL dan PCA dapat menyaring dan menjalankan ujian untuk kemasukan 2,000 orang sehari.

“Kemampuan kerajaan negeri Johor ketika ini adalah mampu menjalankan lebih 2,000 ujian (COVID-19),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang ingin tahu bilakah sempadan Johor-Singapura yang ditutup berikutan COVID-19, akan dibuka semula sepenuhnya.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata penutupan sempadan Johor-Singapura memberi kesan langsung terhadap ekonomi Johor dengan dianggarkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pelancong asing merupakan penyumbang utama sektor perniagaan di Johor.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah mencadangkan kertas kerja awal dan penyediaan SOP kepada Kementerian Luar bagi pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sehingga terlaksananya RGL dan PCA.

“Sekiranya sistem ini (RGL dan PCA) berjaya, saya yakin kerajaan Persekutuan akan membuka sistem sempadan Johor-Singapura sebagaimana biasa dengan SOP yang terancang dan berkesan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita perlu sedar bahawa isu sempadan ini melibatkan kerjasama peringkat global yang harus direncanakan dengan teliti dan komprehensif bagi mendapatkan keputusan yang inklusif untuk semua terutamanya dalam suasana pascapandemik COVID-19,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top