BM | EN | 中文

Johor bangun Pasar Borong Digital pasar produk agromakanan tempatan dalam talian

Johor-bangun-Pasar-Borong-Digital-pasar-produk-agromakanan-tempatan-dalam-talian.jpg

JOHOR BAHRU, 6 DIS: Kerajaan Negeri Johor akan membangunkan Pasar Borong Digital tahun depan bagi menghimpunkan semua produk agromakanan hash keluaran pengusaha tempatan untuk dipasarkan secara dalam talian.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata platform dalam talian hasil kerjasama antara kerajaan negeri melalui Johor Corporation (JCorp) dengan beberapa syarikat swasta itu bukan sahaja akan memenuhi keperluan permintaan pengguna tempatan malahan di peringkat antarabangsa.

“Kita dapati peranan orang tengah masih menjadi isu kepada kawalan harga atau dalam kita nak menentukan harga di pasaran, jadi salah satu cara untuk mengelak daripada orang tengah ialah dengan kita sendiri mengeluarkan hasil pertanian dan kalau boleh kita memasarkan sendiri hasil pertanian.

‘Ketika ini ia masih dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, dan tahun depan kita dah boleh mulakan dengan membangunkan sistemnya, sebaik sahaja sistem ada kita boleh mulakan (jualan) dengan produk dalam negara,” katanya.

“Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kebun Bandar sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 peringkat negeri Johor, di sini, semalam.

Hasni berkata Johor akan memperluaskan lagi sektor pertanian termasuk program kebun bandar, mengalakkan penjualan produk pertanian secara dalam talian serta menjalin kerjasama dengan pakar pertanian dan pemasaran selaras dengan perancangan kerajaan negeri menerusi Agenda Johor Tani.

Mengulas mengenai kebun bandar beliau berkata masyarakat khususnya penduduk bandar digalak memanfaatkan penggunaan tanah secara optimum dengan melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan termasuk di kawasan kediaman dan tanah terbiar.

‘Kalau ahli jawatankuasa masjid boleh buat (hasilkan kebun bandar), persatuan kecil-kecilan boleh buat, pastinya program ini dapat diperluaskan kepada masyarakat secara umumnya,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top