Jimmy Puah (tiga dari kanan) di pejabat Xiamen Airlines (Gambar Ehsan FB Jimmy Puah)
JOHOR BAHRU 14 SEPT: Johor bakal menerima pelaburan bernilai RM400 juta menerusi misi perdagangan ke Xiamen, China, baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.
Jimmy berkata, lawatan tersebut adalah atas jemputan Jabatan Perdagangan Wilayah Xiamen yang turut disertai Cheou Siah Liang, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Malaysia (Cawangan Johor) bersama tujuh ahlinya selain wakil Pusat Pelaburan Negeri Johor.
Katanya, 12 syarikat China akan menjadi pelabur pertama yang memasuki perindustrian pembuatan berasaskan teknologi pintar dan tinggi selain pelabur asing yang lain.
“Pada mesyuarat yang pertama, delegasi pelaburan Johor telah menerima cadangan untuk mendirikan pusat perindustrian pembuatan pintar dan berteknologi tinggi di kawasan Iskandar.
“Jumlah pelaburan pusat perindustrian tersebut adalah RM400 juta dan jumlah kawasan yang akan dibangunkan adalah kira-kira 100 ekar.
“Fasa pertama projek dijangka siap menjelang akhir tahun depan,” kata Jimmy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, semalam.
Beliau yang juga Adun Bukit Batu berkata, sambutan menggalakkan terhadap pusat perindustrian tersebut menjadikannya yakin bahawa perkembangan industri di Johor harus berdasarkan perancangan dan tema yang baik.
Ia dijangka meningkatkan kelebihan kepada Johor dalam menarik pelaburan, menggalakkan pemindahan teknologi secara kolektif dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Manakala pada persidangan pelaburan kedua, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan melawat empat buah syarikat yang berpotensi besar.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kerajaan negeri akan membantu mereka untuk adakan lawatan ke negeri Johor.
“Syarikat-syarikat ini berasaskan industri pengacuan suntikan, teknologi hijau, jentera dan makanan,” katanya.
Kata Jimmy, lokasi dan geografi negeri Johor yang strategik dengan dasar mesra pelaburan selain infrastruktur yang baik memberikan kelebihan.
Johorkini