JOHOR BAHRU, 2 SEPT: Kerajaan negeri Johor akan memperkenalkan Skim Perumahan Prihatin Belia dalam usaha membantu golongan belia terutama pasangan muda memulakan fasa baharu kehidupan mereka.
Pengerusi Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi skim tersebut – mereka yang berkelayakan akan ditawar menyewa satu unit rumah transit, dan pada masa sama ditawar untuk membeli Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) – dalam usaha membantu pasangan muda memiliki kediaman sendiri selepas berkahwin.
Perkara tersebut, menurut Dzulkefly, dirancangan dengan mengambil kira faktor kadar sewa yang tinggi terutamanya di kawasan bandar, faktor yang dikenalpasti menyukarkan belia dan pasangan muda bagi mengumpul wang mencukupi bagi membeli rumah sendiri.
“Kita akan membuat suatu kajian, dan pada umumnya (perkara yang dibangkitkan responden) dalam kajian yang diperolehi dari Kementerian Belia adalah berkenaan (kadar) sewaan yang berpatutan kepada golongan belia, bukannya saiz rumah.
“Jadi kemungkinannya kita akan membina semula rumah pangsa berstrata (yang dilengkapi) dua bilik, khusus untuk golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga sebagai rumah transit dengan kadar sewa yang rendah sebelum mereka membeli kediaman sendiri.
“Kerajaan juga akan menetapkan tempoh sewaan, mungkin selama 5 tahun maksimum bagi membantu golongan ini mengumpul wang bagi unit RMBJ yang ditawarkan kepada mereka dibawah kuota belia,” katanya kepada Johorkini ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya lagi, permasalahan perumahan belia ini akan cuba diselesaikan kerajaan negeri secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan semasa masyarakat.
“Golongan belia ini perlu diberi perhatian selain skim-skim perumahan yang kita bangunkan untuk golongan lain. Inilah inisiatif kerajaan dalam membantu golongan belia mendapat keselesaan sedikit sebelum mereka berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.
“Sebelum ini juga kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) yang kita akan khususkan kepada golongan B40 dan dalam masa yang sama dapat ilham untuk wujudkan skim perumahan kepada golongan belia ini,” katanya lagi.
Dzulkefly, berkata yang juga Adun Kota Iskandar berkata Skim Perumahan Prihatin Belia Johor ini akan juga terkandung dalam Belanjawan Negeri Johor 2020 yang akan datang.
Johorkini