JOHOR BAHRU, 1 FEB: Kerajaan Johor merekodkan kerugian mencecah RM63.1 juta berikutan banjir yang melanda negeri itu pada awal Januari, kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Beliau pada sidang media secara maya berkata, nilai kerugian itu melibatkan kerosakan jalan raya, jambatan, sekolah, rumah serta pelbagai kemudahan awam.
“Kita boleh bayangkan kerosakan dan trauma yang dialami apabila cuma satu daerah sahaja yang tidak terlibat banjir.
“Berdasarkan kepada tinjauan awal, penilaian kerosakan awal adalah RM63.1 juta. Anggaran kerugian tersebut telah diajukan kepada pihak kerajaan Persekutuan,” katanya.
Banjir yang melanda Johor melibatkan beberapa daerah termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru serta Kluang pulih sepenuhnya pada 17 Januari.
Lebih 7,000 mangsa dipindahkan ke 72 pusat pemindahan sementara di lapan daerah selain meragut tiga nyawa di Kluang.
Johorkini