BM | EN | 中文

Johor akan pastikan tiada warga asing berniaga, bekerja di pasar awam

pasar-borong-kl.jpg

Gambar Hiasan: Suasana di sebuah pasar awam di Malaysia

Advertisement

JOHOR BAHRU, 6 JUN: Kerajaan Negeri Johor akan memastikan tiada lagi warga asing berniaga, menjadi penjaja mahupun diambil bekerja di mana-mana pasar awam dan premis perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, tindakan ini diambil sebagai mendahulukan peniaga tempatan supaya mampu meneruskan perniagaan terutama ketika ekonomi kini sedang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia juga ditetapkan sebagai memberi gambaran jelas bahawa mana-mana warga asing sebenarnya tidak boleh dan tidak dibenarkan untuk memiliki lesen perniagaan atau permit berniaga yang dikeluarkan oleh PBT.

Advertisement

Semua 16 PBT Johor akan ditugaskan untuk menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja PBT Negeri Johor, katanya.

Beliau berkata sekiranya didapati ada yang memberi peluang kepada warga asing dengan menyewakan atau memberikan lesen atau permit perniagaan mereka, peniaga warga tempatan boleh dikenakan tindakan tegas.

“Kerajaan negeri juga boleh mengambil tindakan seperti pembatalan lesen berniaga dan melucut hak pemilikan premis perniagaan PBT yang diberikan kepada warga tempatan jika mereka didapati memberi peluang berniaga kepada warga asing.

Advertisement

Ini termasuk kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing kerana warga asing dengan status ini tetap tidak dibenarkan untuk membuka kedai atau melakukan perniagaan di bawah nama isteri atau suami mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ayub berkata bagi terma tidak membenarkan menggunakan pekerja asing pula, kerajaan negeri melihat ia sebagai satu penyelesaian untuk membanteras kegiatan perniagaan secara haram.

“Pihak penguat kuasa tidak mahu sekiranya operasi dilakukan, warga asing ini boleh berlindung dan (warga tempatan) tidak mahu bertanggungjawab dengan memberikan alasan mereka hanya diambil bekerja dan bukan sebagai orang yang mengendalikan aktiviti perniagaan itu.

Advertisement

Oleh itu, ini juga adalah inisiatif untuk membantu pihak berkuasa mengesan individu yang didapati melakukan kesalahan menggunakan pekerja asing terutama yang tidak mempunyai permit atau Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati),” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top