BM | EN | 中文

Johor akan alami pemulihan ‘bentuk V’ pasca pandemik COVID-19

hasni-mohamad-dun-johor-1.jpg

ISKANDAR PUTERI, 10 SEPT: Johor berkemungkinan besar akan mengalami pemulihan ekonomi berbentuk V pasca pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.

Meskipun pertumbuhan ekonomi negeri itu dilihat mengalami kemerosotan, beliau yakin ekonomi Johor akan kekal berdaya tahan, didukung dengan kepelbagaian subsektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian serta pengurusan fiskal yang kuat dan hutang rendah.

“Dari segi hutang, Johor merekodkan nisbah hutang kasar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di belakang Pulau Pinang dan Selangor.

“Memandangkan asas-asas yang kuat ini, ia seharusnya dapat mengatasi sebarang cabaran ekonomi yang akan datang,” kata Hasni pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian bagi menjawab soalan K. Raven Kumar (PN-Tenggaroh) mengenai langkah-langkah kawalan fiskal yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal stabil dan kukuh.

Hasni berkata, setakat ini antara langkah yang diambil termasuk menstruktur semula Belanjawan 2020 dengan memberi fokus kepada penjajaran semula peruntukan dan perbelanjaan jabatan seluruh negeri, melaksanakan konsolidasi fiskal kepada semua Pusat Tanggungjawab dan Pegawai Pengawal serta meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan.

Selain itu, dasar yang bersesuaian untuk semua sektor ekonomi dan sosial turut diperkenalkan bagi menjadikan Johor lebih berdaya tahan pada masa akan datang.

Katanya, langkah-langkah ini harus dilakukan kerana pengurangan hasil yang ketara akan berlaku berbanding tahun lepas disebabkan insentif pengecualian dan penangguhan bayaran beberapa perkhidmatan kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan 2.

Di samping itu, langkah memperketatkan operasi dan perkhidmatan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 turut memberi kesan kepada ekonomi dan sosial negeri itu.

Bagaimanapun, Hasni menegaskan prestasi kewangan Johor pada keseluruhannya sehingga kini masih mengalami lebihan sebanyak RM267.89 juta setakat suku kedua.

Menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) mengenai situasi pencapaian ekonomi negeri menurut kadar KDNK berbanding tempoh sama tahun lepas, Hasni berkata pertumbuhan KDNK Johor pada suku kedua tahun ini berkemungkinan besar lebih merosot berbanding penguncupan 17.1 peratus negara pada suku kedua 2020.

“Ini kerana ekonomi Johor memulakan tahun ini dengan keadaan kurang memberangsangkan selepas pertumbuhan KDNK pada 2019 yang direkodkan pada kadar 2.7 peratus. Pertumbuhan paling rendah dalam 10 tahun ini dipengaruhi oleh momentum perlahan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan,” katanya.

Pada tahun lepas, Johor turut menunjukkan penurunan paling merosot dalam membandingkan pertumbuhan KDNK tahun ke tahun merentasi negeri setelah meningkat 5.6 peratus pada 2018, kata Hasni.

“Berasaskan trend terkini dan faktor-faktor ini, KDNK Johor pada 2020 dianggarkan menguncup pada kadar yang lebih merosot daripada ramalan paras nasional iaitu -3.5 hingga -5.5 peratus.

“Secara kebiasaannya, KDNK Johor akan menguncup lebih banyak daripada kadar nasional kerana kebergantungan dinamik ekonomi negeri kepada Singapura,” kata Hasni.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top