JOHOR BAHRU, 13 FEB : Pihak Jabatan Kesihatan negeri tidak pernah mengarahkan pihak sekolah untuk menjalankan apa-apa tindakan penutupan sekolah mahupun menghalang murid sekolah dari menghadiri kelas.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan berita yang tular di media sosial mengenai seorang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bandaraya ini yang ibu bapanya telah disahkan positif Koronavirus (Covid-19).
Menurut kenyataan itu, berita tersebut menyatakan pihak sekolah telah mengambil tindakan menutup kelas dan melarang murid mendekati kelas.
Katanya, pihak jabatan kesihatan ingin mengesahkan sekolah terbabit adalah sekolah seorang kanak-kanak yang merupakan kontak kepada kes Covid-19 yang dirawat di Singapura pada 10 Februari 2020.
“Pihak jabatan telah menjalankan pengesanan kontak kes Сovid-19 tersebut, termasuk langkah-langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes.
“Terdapat tiga kontak rapat yang dikenalpasti, iaitu isteri dan dua orang anak berumur enam dan lapan tahun.
“Hasil siasatan ke atas kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati mereka negatif untuk jangkitan Covid-19 dan mereka masih di isolasi di hospital sebagai kontak kes positif,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, status isteri kes masih dalam siasatan di hospital terbabit dan pihak JKNJ tidak pernah mengarah pihak sekolah untuk menjalankan apa-apa tindakan penutupan sekolah mahupun menghalang murid sekolah dari menghadiri kelas.
Jelas kenyataan itu, pihak sekolah telah mendapat maklumat dari sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan pencegahan jangkitan sendiri.
“Pihak jabatan menafikan tindakan yang diambil adalah di atas arahan pihak jabatan ini (JKNJ),” kata kenyataan itu lagi.
JohorKini