BM | EN | 中文

JKN Johor bimbang, kes denggi meningkat kepada 8,707

aktiviti-semburan-jabatan-kesihatan-denggi.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 SEPT: Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 6.2 peratus atau 8,707 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 12 Sept tahun ini berbanding 8,200 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Aman Rabu berkata berdasarkan data terkini, situasi denggi di negeri itu disifatkan amat membimbangkan.

“Sebanyak 32 kes kematian direkodkan tahun ini berbanding 21 kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Advertisement

Justeru, JKNJ mengadakan satu operasi penguatkuasaan premis individu (OPPI) di kawasan wabak denggi di Bandar Baru Uda, kerana kawasan berkenaan kurang mendapat kerjasama penduduk untuk dibuat pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Sejak 1 Jan sehingga 12 Sept, sebanyak 156 kes denggi telah dilaporkan dari kawasan ini. Sebanyak 1,014 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 14 (1.3 peratus) premis didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

“Di persekitaran awam pula, sebanyak 26 tempat pembiakan ditemui antaranya pada bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar,” kata Dr Aman.

Advertisement

Beliau berkata dalam usaha mencapai matlamat Johor Perangi Denggi 2020, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

Operasi OPPI di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 adalah satu operasi bersepadu melibatkan agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Polis Diraja Malaysia.

“Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dan denda maksimum RM10,000 atau penjara, tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement

“Dalam mencegah denggi, masyarakat perlu memainkan peranan aktif bagi mencari dan memusnahkan tempat-tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan Aedes, termasuk penjagaan kebersihan persekitaran dan pembuangan sampah secara teratur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top