JOHOR BAHRU, 5 GOS: Sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan sebelum perntengahan tahun hadapan, anak-anak muda yang berumur di antara 18 hingga 21 tahun tidak dapat mengundi.
Perkara itu dinyatakan ahli parlimen Johor Bahru dalam satu kirimannya di laman Facebook beliau, semalam.
“Berdasarkan maklumbalas SPR, pendaftaran automatik dan had umur 18 tahun boleh dikuatkuasakan bermulai Julai tahun depan.
“Ini bermakna sekiranya (kerajaan) PN (Perikatan Nasional) atau MN (Muafakat Nasional) meneruskan hasrat untuk bubar Parlimen sebelum pertengahan 2021, mereka akan mengenepikan anak-anak muda antara 18 tahun sehingga 21 tahun daripada terlibat dalam proses mengundi,” kata Akmal.
Beliau terdahulu menerima kunjungan wakil Pesuruhjaya British di Malaysia yang mendapatkan pandangannya mengenai nasib anak muda serta input-input terkini mengenai perkembangan politik semasa.
Kata Akmal, peralihan kerajaan PN secara mendadak menimbulkan banyak tanda tanya dari masyarakat antarabangsa dan adakah pembaharuan yang cuba dibawa sebelum ini seperti pemerkasaan anak muda melalui undi 18 akan diteruskan.
“Selain itu, saya menyatakan harapan untuk masyarakat antarabangsa memberi peluang kepada Malaysia untuk melalui suasana ekonomi dan peluang yang tidak menentu, dan terdapat Ahli-ahli Parlimen yang kekal komited untuk reformasi dan tadbir urus yang lebih baik,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam jawapan kepada soalan lazim (FAQ) dilaman web badan itu berkata, tarikh kuatkuasa Undi18 belum lagi ditetapkan.
Namun SPR menjangkakan tarikh kuat kuasa pindaan ini sama ada secara bersekali atau berasingan adalah antara 18 hingga 24 bulan dari September 2019.
Johorkini