BM | EN | 中文

Jepun alu-alukan penyertaan Malaysia dalam Olimpik 2020

olimpik-tokyo-2020.jpg
Advertisement

TOKYO, 10 JUN: Kerajaan Jepun tidak pernah meminta Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 (Tokyo 2020) menyekat kemasukan atlet beberapa negara yang menunjukkan peningkatan kes Covid-19 termasuk Malaysia ke temasya itu.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan persiapan sewajarnya sedang giat dilakukan termasuk melaksanakan langkah-langkah bagi membendung jangkitan itu dan memastikan Tokyo 2020 pada bulan depan berlangsung dalam keadaan selamat.

“Jepun benar-benar berharap atlet Malaysia, rakan akrab Jepun sejak sekian lama, akan meraih kejayaan pada temasya itu,” menurut kenyatan itu.

Advertisement

Semalam, CEO Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 Toshiro Muto menafikan dakwaan bahawa kemasukan atlet 10 negara termasuk Malaysia akan disekat mulai bulan depan susulan peningkatan kes Covid-19.

Dia berkata kemungkinan langkah sekatan kemasukan itu tidak pernah dipertimbang namun kontinjen beberapa negara dikehendaki mendapatkan suntikan penuh vaksin Covid-19 sebelum tiba di Jepun untuk menyertai temasya tersebut, yang dijadual bermula pada 23 Julai.

Perkara itu timbul susulan laporan sebuah akhbar harian tempatan bahawa kerajaan Jepun telah mengeluarkan pekeliling kepada jawatankuasa tersebut untuk “menyekat kemasukan” atlet 10 negara yang berdepan peningkatan kes Covid-19.

Advertisement

Menurut laporan itu, jika jawatankuasa tersebut tidak berbuat demikian, langkah lebih ketat akan dikenakan termasuk kuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara yang dinamakan dalam laporan itu ialah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan berasingan semalam memaklumkan pihaknya menerima pengesahan secara peribadi daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi dan Wisma Putra berhubung kenyataan Muto serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menafikan laporan itu.

Advertisement

Reezal bersyukur kerana barisan atlet yang kini giat menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo berada dalam keadaan terbaik untuk menggalas cabaran negara di Jepun nanti.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Hiroshi yang sentiasa memberi perkembangan terkini serta turut membantu mengesahkan bahawa Malaysia sentiasa dialu-alukan untuk menyertai temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik Tokyo dijadual dari 24 Ogos hingga 5 Sept depan.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top