BM | EN | 中文

Jenazah Prof Diraja Ungku Aziz selamat dikebumikan malam tadi

Kebumi-Prof-Ungku-Aziz.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Jenazah Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira 9.50 malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan berkenaan pada kira-kira 9.15 malam selepas disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada 8.55 malam.

Pengebumian dihadiri ahli keluarga serta rakan Allahyarham dan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Advertisement

Allahyarham Ungku Abdul Aziz, 98, meninggal dunia di sini, kira-kira 4 petang semalam.

Bekas pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM) Dr Syed Husin Ali menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang sangat mementingkan soal kemasyarakatan khususnya melibatkan kemiskinan penduduk di luar bandar.

“Malah, Allahyarham juga merupakan individu pertama memperjuangkan soal bahasa Melayu di UM dan menguruskan kongres bahasa di Singapura dan Johor Bahru pada waktu itu (sekitar 1950-an),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Ungku Abdul Aziz.

Advertisement

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Mohamad Ali Hasan menyifatkan Malaysia bukan sahaja kehilangan tokoh akademik terulung, tetapi juga ‘pejuang’ gerakan koperasi di negara ini.

“Allahyarham amat menggalakkan penubuhan koperasi, termasuk di sekolah. Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai koperasi di sekolah.

“Hampir 98 peratus sekolah menengah mempunyai koperasi, kebanyakan koperasi di sekolah mampu mengagihkan pulangan lebih RM1 juta sama seperti pulangan bagi koperasi di luar sana,” katanya.

Advertisement

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia di sini, pada kira-kira 4 petang semalam.

Allahyarham yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Advertisement

Komitmen Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan Tabung Haji, Allahyarham juga pengerak sektor koperasi negara dan merupakan presiden Angkasa selama kira-kira 38 tahun, sejak 1971.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top