BM | EN | 中文

Jenazah pegawai maritim, anak yang kemalangan selamat dikebumi di Kota Tinggi

APMM.jpg

Gambar Ehsan Johor Times

JOHOR BAHRU, 5 SEPT: Jenazah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan anak lelakinya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, Rabu lepas, selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Maritim Malaysia menerusi kenyataan semalam memaklumkan, jenazah Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening, Kota Tinggi, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Sebelum itu, satu istiadat pengebumian dan kawalan jenazah telah dilakukan bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Istiadat berkenaan diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Ardi Mat Nawi bersama 15 pegawai penguat kuasa dan 17 pegawai lain-lain pangkat dari Maritim Johor.

Turut mengiringi jenazah ialah sahabat-sahabat seperjuangan Allahyarham dari Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) serta dari Maritim Johor, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut Maritim Malaysia, semasa upacara tersebut, Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria turut menyerahkan panji Maritim Malaysia kepada abang Allahyarham, Junaidi Omar sebagai penghormatan terakhir buat Allahyarham atas jasa, bakti dan sumbangan yang diberikan kepada Maritim Malaysia dan negara.

Allahyarham Md Firdaus, yang bertugas di Maritim Terengganu meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Mohd Sebari, 30, dan dua lagi anak iaitu Nur Athiyaah Rafhanali, 6, dan Nur Alfiyyah Rasyadah berusia dua tahun.

Media sebelum ini melaporkan, kedua-dua mangsa maut selepas motosikal yang ditunggangi Md Firdaus bersama anaknya dirempuh sebuah kereta semasa keluar dari Simpang di Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus.

Ketika kejadian, Allahyarham dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke kelas mengaji.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top