BATU PAHAT, 25 NOV: Kerajaan hari ini dilihat cuba mengaburi mata, rakyat dengan penjenamaan baharu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kepada J-Kom, sedangkan langkah itu tidak akan menutup isu peruntukan Belanjawan 2021 RM 85.5 juta kepada badan itu.
Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Mahadzir Mat Zili berkata, langkah itu tidak akan menutup sebarang kelemahan yang berlaku, kerana komunikasi dua hala itu boleh dilakukan Jabatan Penerangan tanpa perlu menubuhkan badan yang baharu.
“Apa fungsi Jabatan Penerangan sekiranya kerajaan tidak berjaya memanfaat jabatan tersebut. Tidak perlu tubuh badan yang lain seperti J-Kom.
“Umum mengetahui JASA nama sebelum ini telah busuk kerana peruntukan yang tidak munasabah diberikan kepada badan itu.
“Ternyata kerajaan hanya mahu berselindung di atas kelemahan yang berlaku.
“Peranan Jabatan Penerangan perlu dipertingkatkan bukan dengan membazir memberi kepada badan yang baharu. Dalam keadaan hari ini kita perlu berjimat cermat usah membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.
Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah mengenai penjenamaan semula JASA.
Menurut Saifuddin, peranan J-Kom itu adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Dalam pada itu, Mahadzir menambah usaha penjenamaan itu membawa maksud bahawa kerajaan sehingga kini tidak akan meminda belanjawan yang dibentangkan.
“Ini adalah tanda bahawa tuntutan pelbagai pihak dibakulsampahkan. Ternyata jelas kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin (Tan Sri) tidak akan meminda belanjawan terbabit.
“Pastinya rakyat akan hampa dengan keputusan keras kepala kerajaan ini yang pastinya tidak akan memenangkan rakyat,” katanya lagi.
Johorkini