KAJANG, 22 APR: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM220,000 kepada 44 masjid di Hulu Langat menerusi program Jelajah Kita Selangor Ramadan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap masjid menerima bantuan RM5,000 untuk melaksana aktiviti menyemarakkan Ramadan.
“Kita faham disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masjid tidak dapat beroperasi sebagaimana lazimnya dan semestinya mereka memerlukan banyak dana untuk aktiviti sepanjang bulan puasa.
“Sebahagian masjid di daerah ini agak bergantung dengan sumbangan daripada jemaah khususnya ketika solat Jumaat, namun bilangan jemaah yang terhad menyebabkan kutipan berkurang,” katanya, lapor SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek cura kepada nazir dan wakil jawatankuasa masjid di Masjid Jamek Kajang di sini hari ini.
Sebelum itu, Amirudin menunaikan solat Asar bersama jemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP).
Beliau turut memaklumkan bantuan yang dibiayai Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) akan diteruskan dalam program sama membabitkan daerah Kuala Selangor.
“Diharap dana diberikan sedikit sebanyak membantu masjid untuk beraktiviti dan beroperasi sehingga Aidilfitri jika PKP berlanjutan,” katanya lagi.
Johorkini