JOHOR BAHRU, 3 MAC: Syarikat keusahawanan sosial, JEIWA Global Resources yang memasarkan produk kraftangan premium jenama Tiffin Jeiwa’, bakal melebarkan sayap perniagaannya ke London pada tahun depan.
Pengasasnya Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, Tiffin Jeiwa, produk mangkuk tingkat eksklusif yang dihiasi dengan lukisan tangan dilihat memiliki potensi dan peluang untuk dikembangkan ke luar negara.
Menurutnya, selain mempunyai pelanggan di London, produk itu turut mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelbagai negara seperti Singapura, Brunei, Rusia, Indonesia, Perancis, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Denmark dan Netherland.
Nor Fadilah berkata, Tiffin Jeiwa menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan kenamaan untuk dijadikan sebagai hadiah dan dekorasi, selain digunakan dan dijual di sektor perhotelan seperti hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur dan Suasana Suites.
“Hasil perbincangan dengan beberapa kementerian, kita berhasrat untuk melebarkan sayap ke London kerana ada peluang pasaran dan telah ada pelanggan di sana.
“Masyarakat di Eropah juga kita lihat suka kepada produk tradisional dan mesra alam, jadi ada peluang untuk bawa produk Malaysia ke peringkat lebih jauh.
“Sekarang ini dalam kajian kos dan pasaran selain Tiffin Jeiwa, kami juga akan mengetengahkan produk herba, rempah barangan dapur, aksesort serta wangian buatan tempatan yang mana la akan ditambah baik kepada produk premium khusus untuk pasaran antarabangsa, katanya, lapor Bernama.
Setiap lukisan yang dilukis di Tiffin Jeiwa direka sendiri oleh beliau dengan mengekalkan elemen bercirikan negara Malaysia seperti bunga-bungaan batik, etnik songket, baba nyonya, elemen Chinoiserie dan fantasi yang mana mengambil masa kira-kira empat bulan untuk dihasilkan.
Menurutnya, Tiffin Jelwa juga merupakan produk mesra alam kerana ia bebas plumbum, menggunakan warna yang tidak bertoksik, keluli tahan karat yang sesuai untuk pembungkus makanan, warna kekal dan sesuai untuk dicuci dan digunakan setiap hari serta mempunyai penutup di setiap lapisan.
Nor Fadilah berkata, bermula daripada hanya 30 unit tempahan mangkuk tingkat sejak ia mula dijual pada 2018, pihaknya kini menerima tempahan kira kira 1,000 unit Tiffin Jeiwa setiap bulan JEWA Global Resources mempunyai dua cawangan iaitu di Paradigm Man di sini, dan di Suria KLCC, Kuala Lumpur, manakala cawangan ketiga bakal dibuka di Malaysia Grand Bazaar, Bukit Bintang City Centre juga di ibu kota.
Selain itu, ia turut bekerjasama dengan beberapa rakan strategik tempatan seperti Karyaneka (Jalan Conlay). Destination Good (Chinatown), Pakat (Miri), Perak Woman For Women (PWW) Shop (Ipoh), Tenggek Burung Cafe (Keramat), dan yang terbaru Christolite yang beroperasi di Dubai.
Bermula daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johot (JEIWA), JEIWA Global Resources ditubuhkan pada 2017 berteraskan keusahawanan sosial dan merupakan sebuah syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bernama