ISKANDAR PUTERI, 19 SEPT: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor 6-1 pada aksi Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu menjadikan JDT semakin hampir menggengam kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut, dan pasukan bimbingan Benjamin Mora hanya perlu mencari tiga mata lagi untuk menjulang kejuaraan liga.
Pada babak awal perlawanan kedua-dua pasukan Harimau Selatan dan The Red Giants beraksi dengan tempo permainan sederhana dan tertumpu di kawasan tengah padang dan jarang melakukan serangan berbahaya.
Namun menjelang wisel penamat pada separuh masa pertama, Safawi Rasid menceriakan kem JDT selepas bola sepakan percuma dari jarak 30 meter melencong tepat ke penjuru kanan gol Selangor.
Sebaik bermula babak kedua, pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria selepas Nicholas Ryan Swirad mengasari Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti pada minit ke-48.
Safawi yang mengambil sepakan penalti itu mudah merembat masuk untuk mencetak gol kedua peribadi malam ini.
Pada minit ke-63, bola balingan jauh Corbin Ong yang tepat ke Diogo dan bingkas memusingkan badan merembat bola kencang menewaskan Farizal untuk meletakkan skuad Harimua Selatan selesa di hadapan dengan kedudukan 3-0.
Pemain import Argentina, Cabrera kemudiannya meledak gol keempat buat JDT yang berpunca daripada bola lorongan Diogo.
Pasukan tuan rumah terus mencipta jaringan kelima melalui pemain gantian Ramadan Saifullah Usman pada minit ke-72 dan jaringan kedua peribadi dua minit berselang.
Pasukan pelawat meraih gol saguhati pada minit ke-81 selepas bola umpanan Sean Eugene Selvaraj di dalam kotak penalti disudahkan pemain gantian Rufino Segovia
Malangnya kebangkitan sudah terlalu terlambat dengan kedudukan 6-1 sehingga tamat perlawanan.
JDT bakal bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat ini berdepan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) .
Johorkini