BM | EN | 中文

JDT tewaskan Penang FC, Casagrande dan Trucha dilayangkan kad merah

jdt-penang-FC.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali melakar kemenangan selepas membenam Penang FC 3-0 sementara aksi antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC terjejas akibat cuaca buruk di Kota Kinabalu, malam tadi.

Kemenangan kedua ke atas Penang FC dalam saingan Liga Super 2021 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu membolehkan JDT mengumpul 30 mata selepas 13 perlawanan sementara skuad Harimau Kumbang kekal di tangga keempat dengan 22 mata.

JDT membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang menyempurnakan umpanan rakan sepasukan Safiq Rahim pada minit ke-15 sebelum penyerang import dari Brazil Bergson da Silva menyudahkan hantaran S. Kunanlan untuk gol kedua JDT pada minit ke-43.

Advertisement

Pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-51 selepas dibawa masuk pengendali
JDT Benjamin Mora pada separuh masa kedua perlawanan.

Perlawanan tersebut turut dicemari insiden memalukan selepas pemain tuan rumah Anselmo Arruda da Silva yang dikenali sebagai Casagrande menerima kad kuning kedua manakala jurulatih Tomas Trucha dilayangkan kad merah masing-masing pada minit ke-88 dan minit ke-89 sekali gus diperintahkan meninggalkan padang.

Sementara itu, aksi di Stadium Likas antara Sabah FC dan KDA FC terpaksa dihentikan hampir satu jam ekoran hujan lebat dan berakhir dengan kemenangan 1-0 berpihak KDA FC yang menyaksikan Kpah Sherman muncul wira pasukan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-79.

Advertisement

Kemenangan itu melonjakkan KDA FC ke tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 26 mata sementara Sabah FC yang mengalami kekalahan pertama dalam enam perlawanan kekal di kedudukan ketujuh dengan meraih 16 mata.

Pada masa sama, gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa kedua pertahanan berpengalaman Muhammad Shukor Man memastikan Kuala Lumpur (KL) City FC mengikat UiTM FC 1-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Dalam pada itu, PDRM FC mencatat kemenangan ketiga Liga Premier musim ini selepas menewaskan Selangor FC 2 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top