BM | EN | 中文

JDT menang keatas Kelantan dalam aksi sulung Piala Malaysia

jdt-kelantan-piala-malaysia.jpg

Gambar Ehsan Johor Southern Tigers

Advertisement

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Johor Darul Ta’zim (JDT), membuka kempen Piala Malaysia 2021 dengan meyakinkan apabila menumpaskan Kelantan FC 2-0 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Penyerang import Bergson Da Silva meletakkan JDT di depan pada minit ke-30 menerusi sepakan penalti selepas pemain muda berbakat Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Muhammad Ghaffar Abdul Rahman di dalam kotak penalti.

JDT berpeluang menambah jaringan namun tandukan tonggak pertahanan Shane Thomas Lowry, hasil dari sepakan sudut pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor, terkena tiang gol kanan lawan pada minit ke-37, manakala sepakan voli Bergson dari luar kotak penalti seminit kemudian sekadar menggegar palang gol.

Advertisement

Bersambung babak kedua, juara Liga Super 2021 itu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pemain sayap Muhammad Safawi Rasid menolak masuk gol kedua pasukannya selepas menyambut umpanan berkualiti Muhammad Danial Amier Norhisham dari tengah padang, pada minit ke-49.

Peluang terbaik Kelantan untuk mendapatkan gol sagu hati pula hadir pada minit ke-86 namun rembatan padu Dzulfahmi Abdul Hadi dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol JDT Muhammad Haziq Nadzli dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top