BM | EN | 中文

JDT lonjak ke tangga kedua Liga Super

jdt-uitm.jpg

ISKANDAR PUTERI, 8 MAC: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua selepas menang tipis 2-1 keatas pendatang baharu, UiTM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan pemenang Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2020 itu mengutip enam mata selepas dua perlawanan melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kedua, dengan kutipan enam mata selepas dua perlawanan.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi penyerang import dari Brazil Diogo Luis Santo, sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Victor Nirennold pada minit ke-19.

Bekas pemain kebangsaan Mohd Nazmi Faiz Mansor, memastikan tiga mata berharga untuk juara Piala Sumbangsih 2020 itu, selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70, sekali gus menceriakan 24,387 penyokong pasukan JDT, lapor Bernama.

Sementara itu, Sabah pula meraih kemenangan sulung selepas menang bergaya 3-1 ke atas Felda United di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad Tambadau membuka tirai jaringan menerusi Rodoljub Paunovic yang menanduk masuk sepakan sudut Petrus Shitembi pada minit ke-11, sebelum pemain import dari Korea Selatan Park Tae-Su menggandakan kedudukan selepas menanduk masuk gol kedua, juga hasil sepakan penjuru Shitembi, pada minit ke-38.

Felda United, bagaimanapun berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-71, menerusi percubaan bekas penyerang antarabangsa Singapura Mohd Khairul Amri Mohd Kamal, namun pemain gantian Maxsius Musa, mengesahkan kemenangan Sabah selepas memanfaatkan hantaran Shitembi, pada minit ke-76.

Terengganu FC turut meraih tiga mata berharga selepas mengejutkan juara Piala FA 2019 Kedah, menerusi kemenangan 4-3 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pemain import dari Mauritania Dominique Da Sylva, jelas berada dalam kelas tersendiri selepas menjadi pemain pertama meledak empat gol, dalam saingan Liga Malaysia musim ini, masing-masing pada minit kedua, 64′, 81′ dan minit ke-83.

Skuad Lang Merah pula meraih jaringan menerusi tiga pemain import Renan Da Silva Alves, pada minit ke-18, Kpah Sean Sherman (minit ke-21) dan Tchetche Hermann Brice Kipre pada minit ke-61.

Satu lagi perlawanan Liga Super menyaksikan Selangor dan Perak berkongsi satu mata, selepas seri 1-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, meletakkan Perak di hadapan seawal minit kesembilan sebelum Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31, menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi.

Dalam saingan Liga Premier, Pulau Pinang melakar kemenangan kedua berturut-turut, selepas menang selesa 4-1 ke atas Selangor II di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Turut meraih kemenangan adalah Sarawak United yang berjaya mengatasi JDT II, 4-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Kuala Lumpur pula mencatat kemenangan selesa 3-1, ke atas Negeri Sembilan pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top