BM | EN | 中文

JDT kembali beraksi dalam ACL Oktober depan

JDT-johor-darul-tazim.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan meneruskan aksi dalam Kumpulan G , di kejohanan bola sepak Liga Juara-juara Asia (ACL), Oktober nanti.

Berdasarkan kalendar perlawanan terkini yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laman sesawangnya, www.the-afc.com, hari ini, skuad Harimau Selatan akan menentang juara dua kali ACL, Guangzhou Evergrande dari China pada 17 Okt depan, sebelum berhadapan wakil Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, enam hari kemudian.

JDT, kemudian akan menentang kelab Jepun, Vissel Kobe pada 29 Okt, sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 Nov nanti.

Advertisement

AFC berkata semua perlawanan akan berlangsung di venue terpusat yang akan diumumkan kemudian.

Pada masa ini, JDT berada di tangga kedua Kumpulan G dengan mengutip tiga mata selepas dua perlawanan, dan ketinggalan tiga mata di belakang Vissel Kobe yang mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Pertandingan kelab bola sepak peringkat teratas Asia dan juga peringkat kedua Piala AFC ditangguhkan AFC sejak Mac lepas berikutan pandemik COVID-19.

Advertisement

AFC juga mengesahkan tarikh untuk lima lagi pertandingan selepas mengadakan perbincangan berterusan dengan ahli gabungannya.

Kejohanan Bola Sepak AFC B-19 di Uzbekistan akan berlangsung dari 14 hingga 31 Okt, Kejohanan Futsal AFC di Turkmenistan (4 hingga 15 Nov) Kejohanan AFC B-16 di Bahrain (25 Nov hingga 12 Dis) sementara Kejohanan Kelab Futsal AFC 2020 di Emiriah Arab Bersatu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 13 Dis.

‘Sepanjang perbincangan yang bermula di Kuala Lumpur, Doha, Dubai dan Delhi dalam Februari dan Mac, dan bersambung secara dalam talian sejak itu, kami bersetuju dengan kalendar perlawanan yang akan membolehkan kami melengkapkan kedua-duanya, kejohanan kelab dan kejohanan terpusat dalam 2020,” menurut Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John.

Advertisement

Sebelum ini, AFC telah menjadualkan semula perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari Mac, Jun dan September kepada Oktober dan November tahun ini kerana pandemik COVID-19.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top