BM | EN | 中文

JDT damba kejayaan antarabangsa

JDT-johor-darul-tazim.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 4 OKT: Selepas merangkul kejuaraan Liga Super tujuh kali berturut-turut, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) merasakan sudah tiba masa untuk “terbang lebih tinggi” dengan menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pengendali pasukan Benjamin Mora mengakui tidak mampu menolak keinginan itu walaupun tahu taruhannya adalah tinggi.

Namun begitu, berdasarkan rekod kecemerlangan dalam liga profesional tempatan, beliau yakin anak buahnya mampu menunjukkan taring bersaing dengan pasukan gah antarabangsa.

Advertisement

“Sudah tentu, kita perlu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, namun kita harus bermain dengan lebih baik. Bukan mudah untuk meletakkan Johor dan JDT pada tahap itu.

“Ada pasukan yang telah bertahun-tahun berusaha (mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa) namun JDT menjadi pasukan yang mantap dengan cepat,” katanya pada sidang media selepas menumpaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini semalam.

“Jangan lupa, revolusi JDT cuma bermula pada 2013 selepas TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) mengambil alih pasukan ini dan sekarang, lihatlah apa yang telah dilakukannya.

Advertisement

“Beliau telah membina sebuah empayar serta budaya kemenangan dan kita harus terus mengorak langkah seterusnya,” katanya.

Kemenangan itu mengesahkan kejuaraan Liga Super yang ketujuh berturut-turut skuad Harimau Selatan itu sejak 2014 sekalipun saingan masih berbaki satu perlawanan.

Mora berkata perlawanan malam tadi juga merupakan perlawanan penuh emosi bagi pasukan kerana mereka tidak pasti sama ada penyerang sensasi mereka Safawi Rasid bermain buat kali terakhir untuk JDT.

Advertisement

“Saya tidak tahu jika beliau akan terus berlepas keluar negara selepas ini atau akan bermain untuk sedikit masa lagi dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.

Katanya perpindahan Safawi ke kelab luar negara itu adalah bagus untuk kerjaya bola sepak pemain tersebut.

Dilaporkan Safawi akan menyertai sebuah kelab Eropah.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top