BM | EN | 中文

JDT buru lima pemain baharu

JDT-Johor-Darul-Tazim.jpg

ISKANDAR PUTERI, 14 DIS: JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini dalam proses rundingan untuk mendapatkan khidmat seorang pemain tempatan dan empat pemain import bagi menghadapi saingan musim 2022.

Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat, kata Pengarah Sukan kelab itu, Martin Prest dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook Johor Southern Tigers di sini semalam.

Beliau juga memaklumkan mengenai bekas pelatih Wolverhampton Wanderers, Shio Hong Wan, yang sudah menerima pasport Malaysia dan akan memperkuatkan skuad JDT musim depan.

“Kelab telah memutuskan untuk melepaskan Gonzalo Cabrera dan akan mengekalkan semua pemain import senior. Seorang daripada empat pemain import baharu itu akan digandingkan dengan Bergson manakala yang lain akan ditempatkan di JDT II dan akan bermain secara sistem penggiliran,” katanya.

Prest berkata, kelab itu akan meminjamkan Irfan Fazail dan Stuart Wilkins kepada Sabah; Fadhli Shas dan Syazwan Andik kepada Melaka United dan sedang berbincang dengan beberapa kelab lagi untuk meminjamkan Syafiq Ahmad.

Beliau berkata, kelab itu juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan sebagai status pemain naturalisasi selepas kelab itu membuat keputusan untuk menaturalisasi pemain muda yang boleh memberi sumbangan untuk jangka panjang.

Sementara itu, dalam hantaran lain, JDT mengucapkan terima kasih kepada Cabrera atas pencapaian membanggakan sebagai pemain.

“Ia adalah memori indah bersama, memenangi kesemua trofi dan muncul penjaring terbanyak untuk membolehkan JDT juara Liga Super dengan (43 gol) dan semua perlawanan (66 gol) dalam 152 penampilan sejak 2017.

“Sudah tiba masanya untuk berpisah dengan penghormatan yang besar. Terima kasih sekali lagi atas kenangan manis dan kami mengucapkan selamat maju jaya,” menurut hantaran itu.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top