BM | EN | 中文

JDT ATASI TERENGGANU SAINGAN PERTAMA SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA

JDT-TFC.jpg
Advertisement

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Terengganu FC (TFC) berputih mata selepas tewas 0-1 ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.

JDT yang tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim lalu di Kuala Terengganu terlebih dahulu mencemaskan pintu gol tuan rumah pada minit kelapan menerusi Safawi Rasid yang mudah dibaca penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Lapan minit berselang Diogo hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang hasil hantaran lintang Safawi, namun bola sepakan pemain itu melambung tinggi.

Advertisement

Usaha berterusan skuad Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil apabila Diogo meledak gol pembukaan pada minit ke-22.

Jaringan berpunca daripada hantaran dari tengah padang, Mauricio Nascimento yang singgah dikepala Safawi sebelum Diogo melepasi kawalan Serhii Andrieiev untuk melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Wan Azraie.

Tersentak jaringan itu, Terengganu menggandakan asakan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34, tapi rembatan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche sedikit sipi disebelah kiri pintu gol pelawat selepas menerima umpanan Ashari Samsudin.

Advertisement

Metro Arena melaporkan, perlawanan terhenti seketika apabila berlaku aksi ‘panas’ antara pemain TFC, Khairul Izuan Rosli dengan Corbin Ong pada masa kecederaan babak pertama, sehingga mendapat campur tangan daripada pemain lain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan.

Namun pengadil, Wan Tarmizi Wan Ibrahim berjaya meleraikan insiden itu sebelum berlakunya aksi lebih panas.

Menyedari bahagian sayap kurang menyengat, pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain memasukkan Malik Mat Ariff dan Mohamad Rahmat Makasuf bagi menggantikan Ashari dan Khairul Izuan, namun masih buntu memburu gol penyamaan.

Advertisement

Sebaliknya pada minit ke-53, Safawi hampir menambah jaringan kedua pasukannya apabila berjaya memperdaya penjaga gol, tapi bola sepakan leret pemain itu berjaya diselamatkan pertahanan, Nasrullah Haniff Johan atas garisan gol sekali gus menyelamatkan kubu tuan rumah.

Arkitek TFC kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov harus menyalahkan diri sendiri apabila bola rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-64 hanya sedikit melepasi palang gol.

Layangan kad kuning turut mewarnai aksi pada malam ini apabila pengadil melayangkan dua kad itu kepada pemain TFC manakala empat kepada pemain JDT.

Advertisement

 

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top