BM | EN | 中文

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Bersatu dijangka tak dicabar – Mazlan

mazlan-bujang-3-01-scaled.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 JAN: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak dicabar dalam pemilihan yang bakal berlangsung, tahun ini.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, tiga jawatan di peringkat tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Pengerusi dijangka tidak akan dipertandingkan.

“Walaupun Tun (Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad) dah isytiharkan bahawa dibenarkan ada pertandingan, namun jangkaan saya tiada pertandingan.

Advertisement

“Bersatu tidak sama dengan UMNO, kita tak terkongkong dengan terlalu sangat taksub untuk ‘tidak boleh bertanding’. Saya lihat hujah ini atas sebab perpaduan parti.

“Saya rasa di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada orang cabar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Program Penyerahan Bantuan Sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Tambah Mazlan, sebagai sebuah parti yang masih baharu dan muda, pihaknya perlu mengekalkan kestabilan dan semangat setia kawan antara ahli parti.

Advertisement

“Ibarat kain putih, parti terlalu baharu, jadi biarlah kita seperti ‘berkocak di dalam gelas, air tak tumpah’. Bergaduh macam mana pun, kita boleh kongsi dan minum bersama,” ujarnya.

Jawatan Presiden Bersatu kini disandang Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Timbalan Presiden dijawat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Mazlan turut berkata, jawatan di peringkat Naib Presiden parti akan dipertandingkan berikutan terdapat satu kekosongan pada jawatan itu.

Advertisement

Pada 4 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar memaklumkan Bersatu akan mengadakan pemilihan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi termasuk sayap Srikandi dan Armada.

Pemilihan yang dijadual bermula pada 25 Januari ini didahului dengan persidangan Srikandi dan Armada cawangan sebelum persidangan peringkat Bahagian berlangsung serentak pada 4 April ini untuk akan memilih kepimpinan parti di peringkat pusat.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top