BM | EN | 中文

JATUHNYA SEBUAH KERAJAAN ADALAH DISEBABKAN DIRI SENDIRI

salahuddin-ayub.jpg

ISKANDAR PUTERI, 2 DIS : Sebuah kerajaan yang mengamalkan sikap yang menipu serta mengkhianati rakyat pasti akan dijatuhkan dan perkara itu bukan dilakukan dari luar lingkungan kerajaan tersebut malah ianya berlaku dari diri mereka sendiri.

Pesanan itu telah disuarakan oleh Adun Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika menyampaikan ucapan sempena (Belanjawan 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 14 di Kota Iskandar, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu rakyat menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana salah guna kuasa yang berlaku di kalangan pemimpin parti itu.

“Perkara tersebut adalah suatu fenomena yang baik dan ini menggambarkan rakyat semakin cerdik untuk menilai prestasi pemimpin mereka.

“Rakyat mengetahui sekiranya perubahan kerajaan berlaku, mereka yang terbabit dengan pelbagai skandal salah guna kuasa dan sebagainya akan dihukum.

“Sekiranya perubahan kerajaan itu tidak berlaku pastinya dakwaan untuk pesalah ini diheret ke mahkamah tidak akan berlaku,” katanya.

Berikutan itu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan hari ini melakukan perkara yang sama maka sudah tentunya kami juga akan menerima nasib yang sama sepertimana kerajaan BN terdahulu.

“Janji kita untuk mereformasikan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah kita tunaikan dengan tindakan institusi tersebut bergerak secara bebas untuk mendakwa sesiapa sahaja yang terbabit dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak agar semua pihak harus berkerjasama untuk membangunkan negeri Johor ini untuk mencapai matlamat memartabatkan rakyat.

Beliau membawa perumpamaan seperti lari berganti di mana kerjasama di antara semua pihak adalah sangat penting untuk mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Kita perlu memperbetulkan antara satu sama lain dan nilai bagi pembangkang telah diangkat tinggi bagi kita mengimbangi sesama kita agar dewan ini akan menjadi tempat yang mulia membincangkan soal atau isu rakyat untuk diperjuangkan.

“Kami di sini pastinya akan memperbetulkan apa yang tidak betul dan anda (pembangkang) yang di sebelah sana perlu terus memberi teguran untuk kami memperbetulkan kesalahan kami.

“Antara tokoh yang penuh intergriti adalah Tun Razak yang mana beliau telah membangunkan pelbagai institusi dan saya kagum dengan tokoh ini.

“Tidak salah sekiranya kita jadikan tokoh sebegini sebagai ikutan untuk kita kagum bagi memacu negara dengan lebih baik,” ucapnya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top