KLUANG, 7 FEB: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter ketika sedang memasang tanglung pada jam 11.00 pagi hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kluang telah menghantar seramai lapan anggota ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Menurut saksi, mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam gaung ketika memasang tanglung menggunakan ‘forklift’ di kawasan berhampiran gaung.
“Pihak bomba bertindak menaikkan mangsa ke atas menggunakan ‘stretcher’ dan mangsa telah dihantar ke Hospital Kluang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan terutama ketika melakukan kerja yang berisiko.
Johorkini