BM | EN | 中文

JAS tumpaskan cubaan import sisa e-waste secara haram

jabatan-alam-sekitar-DOE.png
Advertisement

KLANG, 1 JUL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM) berjaya menahan satu unit kontena mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Jun.

Dalam kenyataannya JAS memaklumkan, penahanan kapal yang membawa muatan itu IBN Al Abbar dibuat susulan notifikasi Basel Action Network (BAN) pada 6 Jun lalu.

“Selepas pemeriksaan pada 18 Jun, siasatan JAS turut mendapati syarikat pengimport yang sama telah mengimport tiga unit kontena e-waste dari Amerika Syarikat iaitu pada 16 April, 14 Mei dan 3 Jun.

Advertisement

“Ketiga-tiga unit kontena ini juga telah ditahan oleh Kastam,” menurut kenyataan tersebut.

JAS memaklumkan arahan telah dikeluarkan untuk semua kontena tersebut dihantar pulang ke negara asal.

Sisa e-waste diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya (hazardous waste) di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan polisi semasa melarang sama sekali pengimportan buangan terjadual seperti e-waste ke Malaysia.

Advertisement

Tambah JAS, sehingga 26 Jun, sebanyak dua daripada empat kontena tersebut telah berjaya dihantar pulang dan notis telah dikeluarkan kepada pemilik syarikat serta dua syarikat perkapalan yang bertanggungjawab membawa masuk kontena-kontena berkenaan.

“Pemeriksaan di alamat premis consignee mendapati syarikat tersebut tidak menduduki alamat pejabat seperti yang dinyatakan.

“Namun pemilik syarikat terbabit berjaya dikesan berdasarkan maklumat-maklumat dalam dokumen pengimportan sebelumnya.

Advertisement

“Pengimportan keempat-empat kontena ini didapati dilakukan tanpa mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Konvensyen Basel di Malaysia iaitu JAS.

“Pihak Competent Authority di Amerika Syarikat juga telah dimaklumkan mengenai pengimportan haram ini walaupun negara berkenaan bukan party kepada Konvensyen Basel,” tambahnya.

Kes itu merupakan satu dari 23 kes import haram buangan terjadual yang berjaya dipatahkan JAS, JKDRM dan pihak berkuasa pelabuhan bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Jun.

Advertisement

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menegaskan bahawa import buangan terjadual memerlukan kelulusan JAS yang merupakan agensi bertanggungjawab dalam mengawal pengimportan dan pengeksportan buangan yang diklasifikasi sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan selaras peruntukan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top