PASIR GUDANG, 30 OKT : Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri melangkah setapak kehadapan menggunakan teknologi ‘drone’ bagi melakukan intipan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan mengesan punca pencemaran yang berlaku di kawasan industri sekitar Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, kegunaan ‘drone’ ini dilihat boleh meningkatkan kesan dan kecekapan semasa operasi dijalankan khususnya di kawasan-kawasan yang sukar untuk dimasuki kenderaan.
“Ini merupakan satu kaedah intipan di mana kita berpendapat punca-punca pencemaran lebih mudah dikenal pasti melalui kaedah ini.
“Selain penguatkuasaan sedia ada dijalankan seperti operasi secara bersepadu sekiranya menerima aduan pihak awam, ini adalah setapak lagi usaha kita melangkah ke hadapan untuk pastikan bahawa isu-isu pencemaran di kawasan Pasir Gudang dapat dikawal lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media intipan senyap menggunakan ‘drone’ oleh JAS Johor di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Menara Aqabah, hari ini.
Chen Choon yang juga Adun Jementah berkata, lebih 200 notis telah dikeluarkan kepada pengusaha kilang bagi meminta mereka memaklumkan pengistiharan secara bertulis kepada JAS berkenaan punca pencemaran industri mereka.
Tambahnya, sekiranya pihak kilang ingkar dan tidak patuhi dalam tempoh yang diberikan tindakan mahkamah akan diambil.
“Kita mohon pihak kilang beri kerjasama supaya bantu kerajaan dalam usaha mengawal aktiviti-aktiviti industri yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya lagi.
JohorKini