JOHOR BAHRU, 20 OKT : Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah bersetuju untuk membenarkan operasi sementara kepada syarikat kelapa sawit, Mestika Sdn Bhd yang terletak di sempadan Jementah-Kebun Bahru dekat Tangkak bagi menghasilkan efluen dan seterusnya mengaktifkan bagi menyiapkan kelengkapan loji biogas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kebenaran pengoperasian sementara diberikan kepada syarikat tersebut selama tempoh 70 hari bermula 22 Oktober hingga 30 Disember ini.
“Untuk rekod, lesen operasi syarikat berkenaan telah digantung oleh pihak JAS selama tiga bulan sehingga 18 Disember 2019.
“Bagaimanapun, pihak JAS telah meneliti permohonan berkenaan dan bersetuju untuk membenarkan operasi sementara diberikan kepada syarikat tersebut.
“Kebenaran ini diberikan berdasarkan surat akujanji bertarikh 9 September lepas yang dikemukakan oleh kontraktror lantikan iaitu Red Palm Gas Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Chen Choon yang juga Adun Jementah berkata, antara isi kandungan akujanji itu termasuklah melaksanakan proses kemasukan efluen ke dalam kolam biogas iaitu biogas pond dalam tempoh 40 hari.
“Seterusnya proses menutup pemukaan kolam biogas dengan lapisan membran dalam tempoh 30 hari.
“Selain itu, menyiapkan kerja-kerja pembinaan tangki pencampuran iaitu mixing tank, sistem suar atau flare system dan lain-lain kerja berkaitan di dalam tempoh kebenaran operasi sementara tersebut,” katanya.
Tambahnya, sebagai pencerahan, pembinaan loji biogas di premis berkenaan adalah bagi menyelesaikan masalah pencemaran udara yang menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Ia juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memberi penekanan terhadap perlindungan alam sekitar sebagai teras utama wajib patuh oleh pemain industri bepaksikan agenda matlamat pembangunan mampan (SDG),” katanya.
Justeru, beliau telah mengarahkan pihak JAS untuk memantau secara ketat dan rapi kerja-kerja pembangunan loji biogas sepanjang tempoh operasi sementara berkenaan.
“Langkah tersebut diambil sebagai memastikan kerja-kerja yang dinyatakan berkenaan dijalankan mengikut prosedur dan siap mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Saya menyeru perhatian dan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang aduan sekiranya terdapat pencemaran udara daripada premis berkenaan kepada pihak JAS di talian 1-800-88-2727,” katanya lagi
JohorKini