BM | EN | 中文

JANGAN PANDANG RENDAH CERDIK PANDAI KITA

The-sign-outside-a-tailors-shop-in-Malay-in-both-Jawi-and-Roman-scripts-Chinese-and.png
Advertisement

KALAU disebut cerdik pandai, tahulah kita yang dimaksudkan itu ialah orang-orang bijak. Bagaimana pula dengan kearifan tempatan (local genius)? Mungkin ini kali pertama kita mendengar istilah ini.

Kearifan tempatan merujuk kepada kebijaksanaan orang tempatan dalam sesuatu bidang dengan kepakarannya tersendiri yang diperolehinya berdasarkan ilmu pengetahuan atau pengalaman untuk keperluan hidup masyarakatnya.

Contoh mudah untuk memahami kearifan tempatan masyarakat Melayu adalah seperti seni masakan, seni ukir dan pertukangan kayu. Ada juga yang bersifat bukan kebendaan seperti seni pertahanan diri dan tarian Melayu.

Advertisement

Malangnya para penjajah yang datang ke tanah air kita sering menjulang tinggi peradaban mereka sehingga menidakkan kearifan tempatan orang kita. Namun, tidak semua begitu. Terdapat juga sesetengah mereka mencatatkan kekaguman mereka terhadap kearifan tempatan kita. Cuma catatan mereka jarang dibaca orang kebanyakan.

Ditambah pula apabila sistem pendidikan kita dibentuk oleh Inggeris menurut sukatan yang ditentukan oleh mereka. Jadi, tidak hairanlah jika generasi hari ini tidak tahu tentang kearifan tempatan orang kita.

Antara contoh kearifan tempatan orang kita ialah apabila menerima ajaran Islam sebagai agama mereka, wujudlah tulisan Jawi yang diadaptasi daripada aksara Arab dengan penambahan 6 huruf tersendiri iaitu Cha, Pa, Nga, Ga, Va dan Nya.

Advertisement

Dari tulisan Jawi ini pula berkembang ilmu fekah Melayu. Tidaklah ulama’ Melayu dulu sekadar menterjemah kitab Arab, mereka juga menulis dan mengajar karya fekah menurut kearifan tempatan sesuai dengan keadaan masyarakat kala itu. Karya mereka inilah yang kita kenal dengan nama ‘Kitab Kuning’.

Dalam koleksi Wan Muhd Shaghir Abdullah, terdapat “Katalog Besar Karya Melayu Islam (Jawi)”, yang menyenaraikan 182 orang pengarang dan sekitar 700 buah kitab tentang pelbagai ilmu tersebar di Alam Melayu.

Andai kita hari ini tidak kenal atau buta Jawi, tentu saja melihat kitab kuning seperti melihat kitab Arab. Sedangkan ia adalah buah tangan kearifan tempatan orang terdahulu yang tersimpan khazanah berharga, mungkin akan dibuang begitu sahaja.

Advertisement

Mesti tak percaya kan kalau saya katakan Syeikh Ahmad al-Fathani sudah berikan resipi membuat emas murni 24 karat? Dalam kitabnya itu juga diajar cara membuat mancis, sabun dan lain-lain.

Selain itu, ilmu pelayaran juga merupakan kearifan tempatan yang disebut Lynda Shaffer mula dikuasai orang Melayu seawal tahun 300SM. Pada abad pertama Sebelum Masihi lagi orang Melayu sudah menjejaki Afrika Timur. Katanya pelayar Melayu mampu belayar merentasi lautan beribu-ribu batu tanpa bantuan alat navigasi seawal kurun pertama. Mereka menggunakan angin, bintang, warna air laut, rupa bentuk gelombang laut, tabiat burung dan haiwan juga tumbuhan laut sebagai petanda lokasi.

Tidak kurang hebatnya pembuatan rumah tanpa paku. Sudahlah kaedah kiraannya berdasarkan ukuran anggota badan seperti dua jari, setapak tangan, seketuk, sejengkal, setapak kaki, separas lutut, setahap dagu, sepemunjung dan sepemeluk.

Advertisement

Sambungan kayu menggunakan pula kaedah pasak dan tanggam. Dinding pelupuh buatan buluh yang dianyam juga mampu bertahan selama 80 tahun.

Dari segi kesenian, orang Johor mungkin dah lama tak dengar nama muzik kemplingan bukan? Muzik ini dimainkan masyarakat Jawa di Johor sebagai acara yang membolehkan penduduk duduk berkumpul agar lebih mesra dan bersatu. Kesenian yang dipanggil “guyup” oleh orang Jawa bukan setakat muzik kemplingan, ada lagi yang lain seperti barongan, wayang kulit, dan kuda kepang yang tidak segiat dahulu.

Uniknya kemplingan ialah apabila menggabungkan enam peralatan muzik iaitu gendang, kempling, karon, jidur dan dua buah kempol. Lagu dimainkan diiringi nazam daripada Kitab Barzanji atau Rawi. Ada sesetengah pemain menggunakan pantun Melayu dan lagu Jawa.

Advertisement

Kemesraan muzik dengan pesanan agama dan adat menjadikan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat menusuk secara halus dan santai. Inilah antara kearifan tempatan yang semakin dilupakan dek kemodenan zaman.

Seperti halnya tulisan jawi yang menjadi polemik tempoh hari, Majlis Agama Johor telah memutuskan agar dipertahankan tulisan ini sebagai warisan bangsa dan negara menerusi urusan hal ehwal agama.

Malulah kita kepada Daegu University of Foreign Studies (DUFS) di Daegu, Korea Selatan yang telah memperkenalkan Pusat Antarabangsa Jawiologi iaitu pusat kajian ilmu tulisan Jawi. Sedangkan orang luar beriya-iya ingin mengkaji kearifan tempatan kita, sang empunya pula buat endah tak endah.

Advertisement

 

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top