BM | EN | 中文

JANGAN KERANA ISU HUBUNGAN KAUM KITA KALAH – CHONG WEI

lee-chong-wei.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 31 OGOS – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 62, lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan kita supaya tidak terhasut dengan isu-isu kecil yang melibatkan hubungan antara kaum di Malaysia sehingga menjadi tegang dan dingin.

Dalam catatannya di laman Facebook, beliau meluahkan gusar dengan situasi semasa yang menggugat keharmonian dan perpaduan yang dikecapi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kata Chong Wei, dia kesal apabila kawan-kawan dan peminat saling ‘menembak’ dengan kata-kata kesat antara satu sama lain disebabkan oleh beberapa isu.

Advertisement

“Ini bukan Malaysia yang saya perjuangkan.

“Ketika saya bertemu dengan Lin Dan semasa final Terbuka Malaysia 2006, saya fikir saya akan kalah apabila ketinggalan pada mata 13-20.

“Adalah mustahil (untuk menang) menentang lawan paling berbakat dengan defisit tujuh mata.

Advertisement

“Saya letih dan sedih. Saya pandang ke atas dan melihat kepada orang ramai. Sokongan lantang mereka tidak pernah goyah.

“Kemudian terlihat seorang gadis Melayu, mungkin sekitar umur 8 tahun meletakkan kedua tangan bersama dengan matanya tertutup. Dia berdoa untuk saya.

“Di bahagian lain stadium, saya melihat seorang lelaki India menangis. Saya tidak tahu adakah dia menangis untuk saya? Tetapi saya menganggap itulah yang dia lakukan.

Advertisement

“Kemudian pada sudut lain, anak sahabat saya, budak lelaki Cina berumur 10 tahun menjerit nama saya dengan kuat sehingga pengadil terpaksa berpaling ke sudut itu seperti memberi signal agar dia memperlahankan suaranya.

“Saya tahu saya tidak boleh berputus asa. Seluruh Malaysia berdoa untuk saya menang. Ya, Malaysia yang terdiri daripada kawan, ah ne dan Heng Dai,” tulis Chong Wei.

Katanya rakyat Malaysia tidak seharusnya bertelagah dengan isu-isu seperti Dong Zong dan tulisan khat yang mengakibatkan kebencian.

Advertisement

“Jangan biarkan orang luar mencucuk hidung kita hingga hilang kewarasan kita, Jangan biarkan anasir jahat mengalahkan negara kita, rakyat kita. Rakyat Malaysia jauh lebih besar daripada ini,” katanya.

Chong Wei turut mengimbas kenangan ketika pasukan Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum memenangi Piala Thomas pada tahun 1992,

“Punch Gunalan adalah pengurus pasukan, Razif Sidek adalah Kapten, Rashid Sidek yang paling berbakat, Foo Kok Keong adalah pejuang dan pukulan smash Soo Beng Kiang adalah puncak kemenangan.

Advertisement

“Tunjukkan kita jauh lagi teguh dari semua kisah tidak masuk akal ini. Sebarkan kasih sayang bukan kebencian!

“Jangan ‘bunuh’ saat indah Malaysia itu.

“Selamat hari merdeka Malaysia, tanah tumpahnya darah ku. Kesetiaan kepada raja dan negara,” kata Chong Wei.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top