BM | EN | 中文

JANGAN BIMBANG HANTAR ANAK KE TABIKA KEMAS

IMG-20191112-WA0041.jpg

 

PASIR GUDANG, 12 NOV : Seramai 782 orang kanak-kanak dalam Parlimen Pasir Gudang di sini diraikan sempena Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Tabika Kemas dan Taska di Dewan Muafakat Taman Bukit Dahlia, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, majlis berkenaan diadakan untuk mengiktiraf pencapaian anak-anak pada hari ini.

“Sambutan majlis apresiasi yang sebelum ini lebih sinonim disebut sebagai Majlis Konvokesyen Kanak-kanak merupakan acara tahunan yang diadakan di peringkat parlimen mahupun di peringkat kelas Tabika Kemas, ianya melibatkan kanak-kanak berumur enam tahun sahaja.

“Program yang diadakan saban tahun ini antara lain sudah tentunya bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak tabika ini atas pencapaian dalam pendidikan prasekolah yang telah mereka ikuti di kelas tabika masing-masing.

Antara murid yang menyertai Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Tabika Kemas dan Taska Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakan Taman Bukit Dahlia, hari ini.

“Justeru, ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan melalui Jabatan Kemas amat menghargai dan menitik beratkan pendidikan awal kanak-kanak sama ada di peringkat tabika mahupun di peringkat Taska Permata Kemas,”katanya ketika berucap pada majlis itu.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan dan Kemas untuk memperkasakan pendidikan pra sekolah baik dari segi silibus pengajaran dan pembelajaran, aspek fizikal, guru berkemahiran dan lain-lain lagi.

Jelasnya, kebanyakan daripada guru-guru Kemas yang ada sekarang telah diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan dengan perlantikan guru gred S29, lulusan diploma.

“Dengan ini memberi nilai tambah kepada institusi tabika Kemas secara keseluruhan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan guru-guru di peringkat pra sekolah itu sendiri.

“Amat jelas di sini, seharusnya tidak wujud kebimbangan di kalangan masyarakat untuk menghantar anak-anak ke Tabika Kemas ianya menggunakan kurikulum prasekolah kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sehingga kini, Kemas merupakan salah satu jabatan yang berperanan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

“Ia khususnya melalui tabika kerana pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal disamping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top