JANGAN BERDEBAT KALAU HUKUMNYA JELAS

JANGAN BERDEBAT KALAU HUKUMNYA JELAS

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita isu Debat Piala Tun Razak yang bertajuk “Islam tidak menghalang homoseksual” yang dirangka oleh dua orang pelajar universiti awam yang menjadi juri.

Setelah ditegur Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar, juri berkenaan telah memberikan respon bahawa “Debat adalah kegiatan di mana peserta perlu berfikir di luar kotak, tidak mengehadkan pandangan alam dan pada masa sama tidak mengorbankan kepercayaan mereka, selain sedia untuk berfikir secara kritikal.”

Memandangkan isu ini melibatkan hal agama, elok kita lihat pendirian Islam tentang perdebatan. Bilakah bermulanya ilmu debat? Bolehkah hukum-hukum agama diperdebatkan?

Waktu awal-awal Islam dibawa ke tanah Hijaz awal kurun ke-7, penerimaan Islam tidaklah sekelip mata. Idea dan budaya lama masih wujud dan wahyu yang diterima menjadi perdebatan sesama masyarakat.

Perdebatan berakhir apabila mereka bertemu Nabi untuk mendapatkan penjelasan dan penetapan hukum.

Setelah itu tidak lagi didebatkan sesuatu perkara yang sudah dijelaskan Nabi menerusi ayat-ayat Quran dan hadis baginda.

Setelah kewafatan Nabi, timbul pula persoalan-persoalan yang tidak pernah wujud sebelum ini. Lebih-lebih lagi waktu itu umat Islam kian bertambah dari pelbagai bangsa, puak dan kawasan.

Ditambah lagi dengan bermula tragedi pembunuhan khalifah Uthman sehinggalah peralihan kuasa kerajaan Umayyah ke tangan kerajaan Abbasiyyah turut menyaksikan fitnah yang tidak pernah berlaku. Ia sama sekali berbeza dengan zaman Nabi yang ditaati sepenuhnya.

Kali pertama muncul aliran ahli silat lidah atau ahli debat dalam sejarah kerajaan Islam pada sekitar tahun 738 di Basrah, Iraq ialah Mu’tazilah yang bermaksud ‘kelompok yang mengasingkan diri’.

Ia bermula daripada kisah Wasil bin Ata’ yang mempertahankan pendiriannya dengan mengasingkan dirinya pada salah satu tiang masjid setelah memintas al-Hasan al-Basri untuk menjawab soalan tentang pelaku dosa besar, adakah ia kafir?

Mu’tazilah adalah golongan yang terpengaruh dengan pemikiran logik dan falsafah Yunani, India dan Parsi. Majoriti mereka berpemikiran Parsi. Jadi, ajaran-ajaran al-Quran ditafsirkan menurut falsafah tersebut. Hadis-hadis bertentangan logik Yunani juga ditolak mereka.

Aliran Mu’tazilah ini merupakan pendirian rasmi kerajaan Abbasiyyah bawah pemerintahan Al-Ma’mun, Al-Mu’tasim dan Al-Wathiq. Sebelum ini, wujud juga aliran ahli debat seperti Khawarij, Murji’ah, Qadariah dan Jabariyah tetapi mereka tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan.

Isu terpenting dalam sejarah Mu’tazilah ialah sama ada al-Quran ini kalam Allah atau makhluk. Dari sini timbullah perdebatan hangat sehingga wujudlah hari ini istilah ‘Ilmu Kalam’ atau lebih mudah dikenali sebagai ilmu perdebatan.

Dalam isu tersebut, Al-Ma’mun memaksa para ulama untuk mengakui bahawa al-Quran itu makhluk. Kebanyakan ulama’ takut lalu membenarkan fahaman ini kecuali Imam Ahmad bin Hanbal dan beberapa ulama lain.

Akibatnya mereka diseksa dan dipenjara. Penyeksaan diteruskan oleh anaknya, Al-Mu’tasim dan cucunya, Al-Wathiq yang menyambung pemerintahan Abbasiyyah. Pada zaman seterusnya iaitu Al-Mutawakkil, barulah Imam Ahmad dibebaskan.

Ilmu Kalam pun berkembang seiring dengan perubahan dan cabaran zaman. Muncullah kemudiannya, aliran al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah.

Pendekatan rasional akal (‘aqliyyah) mengukuhkan dalil al-Quran (naqliyyah) mulai diterima dan berkembang dalam rangka keimanan kepada Allah berserta pertimbangan logik.

Malah, ulama kontemporari Mustafa Abdul Raziq menyatakan bahawa al-Quran memberi panduan konsep berdebat (jadal) dengan jelas seperti dalam ayat 125 surah al-Nahl.

Isi penting dalam ayat itu ialah (a) berdebat demi kebenaran (b) dengan cara penuh berhikmah dan (c) berbantahlah dengan cara yang baik.

Jika isu debat Piala Tun Razak ini hanyalah sekadar untuk berbincang di luar kotak, gunakanlah tajuk yang tidak berkait dengan agama. Kalau mahu berkait agama, pastikan perdebatan itu demi mencari kebenaran.

Apatah lagi debat ini berlaku di peringkat sekolah, cukuplah dengan  persoalan yang membina pemikiran kritis dalam bab yang setara dengan tahap keilmuan mereka.

Hukum perlakuan homoseksual disepakati ulama’ sebagai haram dan tidak patut diperdebatkan. Kita berharap juri berkenaan sedar yang mereka tersalah langkah.

Apa yang kita bimbangkan ialah apabila hukum haram perlakuan homeseksual itu dipandang sebagai tafsiran klasik yang perlu dinilai semula seiring dengan keterbukaan masyarakat hari ini.

Inilah pandangan yang wujud dalam kalangan kelompok liberal yang cuba memberi tafsiran baharu ayat-ayat berkaitan pengamal homoseksual umat Nabi Lut yang disebut sebanyak 14 tempat di dalam al-Quran.

RUJUKAN:

https://www.malaysiakini.com/news/496015

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/3092-tashih-al-mafahim-11-bahaya-mu-tazilah

http://repository.uin-suska.ac.id/7314/3/BAB%20II.pdf

http://studentsrepo.um.edu.my/5294/4/BAB_SATU.pdf

http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perlakuan_LGBT.pdf

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )