BM | EN | 中文

Jalinan kerjasama swasta, UTHM angkat martabat pelancongan alam semula jadi di Johor

Universiti-Tun-Hussein-Onn-Malaysia-UTHM.jpeg

BATU PAHAT, 9 SEPT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini telah mengadakan kerjasama dengan Shaz Resort Sdn Bhd (SRSB) dan Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semulajadi Negeri Johor (JCNTGA) bagi mengangkat martabat sektor pelancongan alam semula jadi di negeri itu.

Ketua Projek Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar berkata melalui kerjasama yang dimeterai untuk tempoh lima tahun itu, UTHM menerima geran bernilai RM100,000 daripada SRSB yang akan digunakan untuk penyelidikan dan konservasi kepelbagaian flora dan fauna di Pulau Tinggi, Mersing.

“UTHM juga akan melibatkan komuniti setempat yang diwakili oleh JCNTGA dalam menjayakan misi ini untuk membangun pakej pelancongan alam semula jadi yang bukan hanya memfokuskan keuntungan semata-mata tetapi mempunyai elemen pendidikan yang mampu menyemai kecintaan kepada alam semula jadi.

“Ini adalah bertepatan dengan komponen ‘Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam’ bagi konvensyen antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam

Menurutnya, produk pelancongan yang dibangunkan itu akan menjadi satu daya tarikan yang menarik serta membuka segmen pelancongan yang kurang diterokai di negara ini.

Selain itu, kira-kira 160 orang ahli JCNTGA yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 juga akan mendapat peluang menerokai segmen baharu itu, sekali gus mampu menjana pendapatan dan mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.

“UTHM akan memberi latihan kepada JCNTGA berkenaan produk pelancongan ini yang berkonsepkan Continuing Tourism Related Education (CTRE) yang juga syarat bagi mereka memperbaharui lesen sebagai pemandu pelancong berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Keseluruhan dapatan daripada penyelidikan dan pembangunan produk pelancongan projek ini akan ditempatkan di sebuah pusat universiti untuk masyarakat di Pulau Tinggi, yang disasarkan menjadi produk pelancongan yang boleh dikunjungi di Mersing.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan semua spesimen yang dikumpulkan bagi tujuan kajian di Pulau Tinggi ini dapat disimpan dengan baik dan menjadi rujukan bagi penyelidikan di masa akan datang,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top