PASIR GUDANG, 18 SEPT: Pembukaan jalan penghubung antara Taman Kota Masai dan Senai Desaru Expressway (SDE) bakal mengurangkan kesesakan di laluan utama di Pasir Gudang.
Menurut Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), jalan tersebut telah dibuka bermula hari ini.
“Jalan tersebut akan memberi kemudahan, menambahkan pilihan serta memendekkan jarak pengguna yang ingin menggunakan SDE,” menurut kenyataan MPPG melalui satu kiriman yang dimuatnaik di Facebook.
Menurut kenyataan berkenaan, susur masuk dan keluar itu merupakan akses tambahan yang terbaru selepas laluan sedia ada di Cahaya Baru dan Tanjung Langsat.
“Susur keluar jalan ini akan menghubungkan pengguna dari Taman Kota Masai ke Desaru, Senai dan Kuala Lumpur.
“Manakala susur masuk pula, akan menghubungkan pengguna dari Tanjung Langsat ke Taman Kota Masai dan kawasan-kawasan di sekitarnya,” kenyataan tersebut dipetik.
Dalam pada itu MPPG turut mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan SDE Sdn Bhd di atas segala kerjasama dan bantuan dalam usaha menyempurnakan pembinaan jalan penghubung ini.
Johorkini