JALAN PENGHUBUNG BANDAR PULAI JAYA DIBUKA 20 OKT

JALAN PENGHUBUNG BANDAR PULAI JAYA DIBUKA 20 OKT

JOHOR BAHRU, 18 SEPT: Penduduk di kawasan Bandar Pulai Jaya bakal menarik nafas lega apabila jalan susur keluar lebuhraya Linkedua dekat Taman Pulai Jaya akan dibuka 20 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Solihan Badri berkata, projek yang tertangguh sejak 2014 itu akan disempurnakan dalam satu majlis perasmian oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Menurut Solihan penyiapan jalan penghubung sepanjang satu kilometer itu akan mengurangkan 40 peratus lalulintas yang menggunakan jalan Pontian-Johor Bahru.

“Jalan ini akan menjadi pilihan kerana tidak ada tol.

“Ia juga akan mengurangkan tempoh perjalanan selama lebih kurang 25 minit yang akan memberi faedah besar kepada penduduk kawasan ini,” kata Solihan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan tapak pra pembukaan persimpangan bertingkat Pulai Jaya, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, antara punca kelewatan penyiapan projek disebabkan urusan pengambilan tanah dengan pelbagai pihak.

Difahamkan, pembinaan jalan penghubung tersebut selain kos pengambilan tanah menelan belanja kira-kira RM80 juta, namun ia bakal memanfaatkan kira-kira 100,000 kenderaan yang menggunakan laluan tersebut setiap bulan.

Kata Solihan, pembinaan jalan penghubung tersebut bakal merancakkan lagi pembangunan dan kegiatan ekonomi di kawasan ini.

Sementara itu, Adun Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan Johor mengambil tanggungjawab, meskipun beberapa pemaju sebelum ini gagal menyiapkan jalan penghubung tersebut.

Beliau turut menyampaikan penghargaan terutamanya kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Kulai, Jabatan Kerja Raya dan semua pihak di dalam jawatankuasa penyelerasan yang berusaha menyiapkan pembinaan jalan penghubung tersebut.

“Selain itu kita ada beberapa isu kesesakan di kawasan ini yang diharap dapat ditangani, terutamanya melibatkan laluan utama dan masa perjalanan ke dari Skudai ke Pontian dan Ulu Choh ke Gelang Patah.

“Kita perlu ingat, kawasan DUN N49 Kota Iskandar ini adalah pemangkin pembangunan bagi Iskandar Malaysia dan pembangunan secara pesat akan berlaku di kawasan ini,” kata Dzulkefly.

Justeru itu katanya, kawasan ini memerlukan infrastruktur yang lengkap bagi menampung peningkatan jumlah penduduk.

Johorkini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )