KOTA TINGGI, 26 SEPT: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) terus giat melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur termasuk menaktaraf jajaran Jalan Persekutuan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, jajaran jalan baharu di sepanjang PIPC itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur sokongan yang bermutu tinggi di negeri Johor.
“Antara jalan baharu dibangunkan ialah jajaran jalan di PIPC yang mula dibina pada bulan Jun 2016 dan siap pada September 2019.
“Pembinaan ini dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan sedia ada terutamanya pada waktu puncak.
“Pada masa yang sama projek ini juga akan menjana perkembangan pesat kepada pembangunan sosio ekonomi di kawasan sekitar khususnya kepada sektor industri pemprosesan minyak, industri pelancongan dan industri kecil sederhana,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Jajaran Jalan Persekutuan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Johor sepanjang 23.8 km, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Difahamkan, projek tersebut menelan kos sebanyak RM1.139 bilion dan kerja penyiapan tersebut diselia Pasukan Projek Khas PIPC Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Ia melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala bagi empat pakej meliputi jajaran jalan sepanjang 23.8km termasuk pengambilan tanah (PBT).
Selain itu, KKR turut menaiktaraf Jalan Persekutuan FT92 dari Bandar Penawar ke Sungai Rengit dari dua kepada empat lorong sepanjang 28km dan membina jalan baru empat lorong dua hala menghubungkan Jalan Persekutuan FT92 ke PULAREK sepanjang 15km.
Tambah Baru Bian, KKR akan terus melipatgandakan usaha untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi kepada rakyat, dengan menyediakan kemudahan jalan raya yang selesa dan selamat selaras slogan KKR, ‘Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’.
Johorkini