BM | EN | 中文

JAINJ mungkin jadi pemerhati dalam prosiding rayuan isu kalimah Allah

tosrin-jarvanthi.jpg

KULAI, 25 MAC: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkemungkinan besar akan menjadi pemerhati dalam rayuan kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Exco Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata tindakan itu dilakukan sebagai menyokong usaha kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu itu.

“Isu ini telah dibawa dalam Jabatan Fatwa Negeri Johor dan kita sedang menunggu proses rayuan berhubung isu itu daripada kerajaan Persekutuan

“Kemungkinan besar JAINJ akan menjadi pemerhati dalam prosiding, yang akan diketual Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam Johor (PIJ) di Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya kerajaan negeri bersedia membantu kerajaan Persekutuan dalam menyokong rayuannya berhubung isu itu seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini.

Tosrin dalam masa sama berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor bersedia membantu mana mana pihak dalam mencari formula dan keputusan terbaik berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pada Khamis lalu, Sultan Ibrahim menitahkan agar Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top