BM | EN | 中文

JAINJ kumpul maklumat, siasat teliti sebelum serah laporan isu perkahwinan wanita

Tosrin-Jarvanthi.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 22 DIS: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang mengumpul maklumat berhubung isu perkahwinan Illi Najwa Saddique dengan kapten pasukan hoki India baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi berkata laporan siasatan meliputi semua sudut itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Alhmarhum Sultan Iskandar terlebih dahulu selaku Ketua Agama Islam Negeri Johor.

Beliau berkata selepas itu, pihaknya akan menyerahkan laporan siasatan itu kepada Kementerian Luar yang menunggu maklumat rasmi daripada pihaknya berhubung isu berkenaan.

Advertisement

“Kita perlu melakukan siasatan secara berhati-hati dan teliti bagi mengelakkan isu ini daripada memberi kesan yang buruk kepada hubungan masyarakat beragama di negara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Pusat Islam Iskandar di sini, semalam.

Turut hadir, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ yang turut memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin.

Tosrin berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan siasatan JAINJ berhubung perkahwinan wanita berusia 27 tahun itu dengan Manpreet Singh Pawar, 28, di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab baru-baru ini. Gambar foto majlis perkahwinan tradisional yang dilalui pasangan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen akan status agama wanita itu.

Advertisement

Ketika ditanya adakah pihak JAINJ sudah mengambil keterangan daripada mana-mana pihak, Tosrin berkata setakat ini tiada keterangan diambil.

Beliau dalam masa sama menasihatkan orang awam terutama masyarakat beragama Islam supaya bersabar serta tidak menimbulkan tafsiran negatif berhubung isu berkenaan dan serahkan kepada JAINJ untuk menyiasat.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary dillaporkan berkata kerajaan akan memanggil wanita itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai status agamanya sebaik sahaja kembali ke tanah air.

Advertisement

Difahamkan, wanita berasal dari Johor itu masih beragama Islam tetapi kerajaan belum menerima permohonan beliau untuk berkahwin di luar negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita mengenai berita wanita itu serta menitahkan pihak berkuasa agama Islam negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita itu sama ada melalui ahli keluarganya dan juga menerusi Kedutaan Malaysia di India.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top